AKSI antara skuad B-23 menentang Vietnam sebentar tadi. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
AKSI antara skuad B-23 menentang Vietnam sebentar tadi. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kempen skuad bawah 23 (B-23) tahun negara di Piala Asia B-23 berakhir lebih awal selepas tewas buat kali kedua berturut-turut dalam aksi Kumpulan D apabila tumbang 0-2 di tangan Vietnam di Stadium Antarabangsa Khalifa di Doha, Qatar malam tadi.

Kekalahan itu yang kedua selepas turut tewas 0-2 kepada Uzbekistan sekali gus kekal tanpa sebarang mata Malah, kegagalan bangkit memburu kemenangan turut menyaksikan impian untuk layak ke Sukan Olimpik Paris Julai ini terus kempunan selepas kali terakhir layak pada temasya 1980 lalu.

Dalam aksi itu, anak buah Juan Torres Garrido memberi amaran awal menerusi rembatan leret Fergus Tierney pada minit ketiga yang sedikit tersasar.

Pasukan negara terus menekan kubu lawan dengan barisan pertahanan Vietnam cukup sibuk mengekang asakan bertali arus namun percubaan Tierney mahupun Luqman Hakim Shamsudin yang tepat ke arah penjaga gol atau tersasar.

Begitupun lawan yang sekali sekala menyerang sebaliknya terlebih dulu menemui gawang negara sebelum tamat aksi babak pertama.

Gol skuad bimbingan Hoang Anh Tuan diraih menerusi sepakan percuma Khuat Van Khang pada minit 39 selepas Ubaidullah Shamsul Fazili melakukan kekasaran di luar kotak penalti.

Bersambung babak kedua, gawang negara bocor lagi dengan Ubaidullah sekali lagi melakukan kesilapan apabila menolak Bui Vi Hao dalam kotak penalti untuk pengadil perlawanan memberi sepakan penalti.

Vo Hoang Minh Khoa tidak berdepan masalah apabila mudah menyempurnakan penalti pada minit ke-60 untuk mendahului dua gol di depan.

Garrido membuat tiga pertukaran serentak dengan memasukkan Muhammad Syahir Bashah, Muhammad Aliff Izwan dan Muhammad Haqimi Azim namun benteng pertahanan Vietnam cukup ampuh menafikan segala percubaan.

Paling hampir menerusi dua percubaan Tierney masing-masing di minit 81 dan 87 serta voli Haqimi di hujung permainan tidak menemui sasaran sekali gus tersingkir daripada kejohanan.

Selepas ini, pasukan negara akan melengkapkan jadual perlawanan dengan menentang Kuwait di Stadium Al Janoub, Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 11:11 PM