SANCHO (jersi 10) merembat masuk gol pembukaan yang memastikan Dortmund ke suku akhir UCL. FOTO AFP
SANCHO (jersi 10) merembat masuk gol pembukaan yang memastikan Dortmund ke suku akhir UCL. FOTO AFP
AFP

Dortmund: Pemain sayap Borussia Dortmund, Jadon Sancho berkata tidak ada perasaan lebih baik selepas jaringannya membantu kemenangan 2-0 ke atas PSV Eindhoven dan mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan agregat 3-1.

Pemain yang dipinjam dari Manchester United itu membuka jaringan seawal minit ketiga yang juga gol pertamanya di hadapan 82,000 penyokong Dortmund sejak Mei 2021.

Marco Reus menambah jaringan pada masa kecederaan untuk mengesahkan kemenangan 3-1 secara agregat dan mara ke suku akhir buat pertama kali sejak 2021.

"Ia cukup melegakan. Saya rasa semua pemain mahu memulakan permainan dengan baik - dan tidak ada perasaan lebih bagus daripada itu," kata Sancho kepada TNT Sports.

"Saya bersyukur dapat menjaringkan gol untuk pasukan. Kami sedar ia akan menjadi sukar, tetapi saya rasa kami ada kelebihan kerana bermain di hadapan penyokong sendiri," kata Sancho.

Sancho, 23, berdepan saat sukar di Manchester United dan dipaksa berlatih berasingan daripada pasukan utama selepas disisihkan pengendalinya, Erik ten Hag.

Dengan hanya tiga penampilan Liga Perdana Inggeris musim ini, pemain sayap itu kembali di Dortmund pada Januari secara pinjaman selama enam bulan.

Sancho kini menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan terakhir dan mengakui sedar memiliki tempat istimewa di Dortmund.

Pengendali Dortmund, Edin Terzic, yang melatih Sancho ketika pemain Inggeris itu kali pertama beraksi di Jerman, memuji pemain sayap berkenaan.

"Saya gembira Jadon menjaringkan gol. Dia mengharungi perlawanan yang hebat. Saya rasa hari ini Jadon menunjukkan persembahan terbaiknya sejak kembali bersama kami," kata Terzic.

Terzic berkata, Dortmund dan Sancho mendapat pulangan setimpal kerana kesabaran mereka.

"Kira-kira seminggu lalu, ramai bertanya apa sudah jadi dengan Jadon, kepada dia tidak menjaringkan gol? Sekarang, dia sudah menjaringkan dua gol."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 9:24 AM