REUS (kiri) berjaya meledakkan gol kemenangan Dortmund ketika mengalahkan Bremen 2-1. FOTO Agensi
REUS (kiri) berjaya meledakkan gol kemenangan Dortmund ketika mengalahkan Bremen 2-1. FOTO Agensi
AFP

Berlin: Pengendali sementara Borussia Dortmund, Edin Terzic mencatat penampilan pertama dengan kemenangan awal pagi tadi selepas kapten, Marco Reus meledak gol pada lewat permainan bagi membolehkan mereka mengalahkan Werder Bremen 2-1.

Jurulatih berusia 38 tahun, Terzic menggantikan Lucien Favre, yang dipecat Ahad lalu kurang 24 jam selepas dibelasah 1-5 di laman sendiri oleh Stuttgart.

"Adalah penting untuk bangkit dengan kemenangan selepas kekalahan teruk. Kami bangkit menghadapinya dan saya harap kami kembali berada di landasan yang betul." kata Reus kepada Sky.

Terzic memiliki kontrak hingga penamat musim ini dan memberi inspirasi kemenangan pertama Dortmund dalam empat perlawanan liga, manakala Bremen kini melalui empat perlawanan dengan kekalahan.

"Adalah penting untuk menunjukkan reaksi balas," kata Terzic yang juga pembantu Slaven Bilic di West Ham pada 2015-17.

Dortmund mendahului di Bremen apabila percubaan pertama Jadon Sancho yang terkena pertahanan lawan sebelum Raphael Guerreiro melepaskan rembatan susulan pada minit ke-14.

Bremen menyamakan kedudukan pada minit ke-28 apabila Josh Sargent mengambil kesempatan kesilapan dilakukan pertahanan Dortmund, Manuel Akanji dan melorongkan bola untuk disudahkan Kevin Moehwald.

Akanji berjaya menebus kesilapan apabila berjaya memperoleh penalti yang disudahkan Reus hasil sepakan susulan selepas rembatan pertamanya berjaya diselamatkan oleh Jiri Pavlenka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 11:22 AM