SANCHO (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
SANCHO (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

Dortmund: Jaringan pada minit ketiga menerusi Jadon Sancho dan gol lewat Marco Reus memastikan Borussia Dortmund melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) hasil kemenangan 2-0 ke atas PSV Eindhoven, awal pagi ini, dengan agregat 3-1.

Mereka terikat 1-1 selepas perlawanan pertama peringkat 16 terbaik di Belanda dan Sancho tidak membuang masa apabila meletakkan Dortmund di depan menerusi rembatan rendah dari luar kotak penalti yang juga gol pertamanya di UCL sejak November 2021.

Bagaimanapun, di sebalik gol awal itu aksi Dortmund agak goyah dan memerlukan tuah dan beberapa penyudah tumpul untuk mara termasuk rembatan Hirving Lozano terkena palang pada minit ke-53.

PSV terus mengasak mencari gol penyamaan pada masa kecederaan, tetapi mereka dibolosi apabila kesilapan Isaac Babadi membolehkan Reus menjaringkan gol kemenangan.

Juara pada 1997 itu akhirnya mengatasi PSV, tetapi akan berdepan cabaran sukar apabila undian suku akhir diadakan pada Jumaat dan kemaraan pertama mereka sejak 2021.

"Saya fikir kami meraih tempat ke suku akhir dengan kerja keras," kata pengurus Dortmund, Edin Terzic.

"Mungkin kami mempamerkan 30 minit terbaik pada musim ini pada awal permainan.

"Kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol ketika memberi tekanan kepada lawan. Malangnya pada babak kedua, kami berhenti bermain seperti ini, tetapi bertahan dengan gagah."

Dortmund yang ketinggalan 20 mata di belakang anak buah Xabi Alonso, Bayer Leverkusen pada kempen Bundesliga dan tersingkir daripada Piala Jerman menyedari UCL adalah harapan tunggal mereka untuk meraih trofi pada musim ini.

Sekalipun hambar dalam aksi domestik, Dortmund agak menyerlah di Eropah dan melepasi kumpulan membabitkan Paris Saint-Germain (PSG), AC Milan dan Newcastle.

PSV belum tewas dalam saingan Eredivisie dan pada landasan terbaik untuk meraih gelaran liga pertama sejak 2018.

Sabtu lalu, Sancho menyatakan dia menjangkakan lebih banyak lagi mampu dilakukan selepas menjaringkan gol sulung sebaik kembali semula ke Jerman secara pinjaman dari Manchester United pada Januari ini dan kali ini, dia membuka jaringan selepas suar dibersihkan dari padang.

Pemain sayap England yang disisihkan itu memanfaatkan kegagalan pemain PSV mengeluarkan bola dari dalam kotak penalti dan merembat ke penuuru kanan gawang lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 6:56 AM