SANCHO didenda liga Jerman kerana melanggari peraturan Covid-19. FOTO AFP
SANCHO didenda liga Jerman kerana melanggari peraturan Covid-19. FOTO AFP
AFP

PEMAIN tengah Borussia Dortmund, Emre Can menyarankan rakan sepasukan, Jadon Sancho agar lebih matang, selepas pemain sayap England itu terbabit dalam insiden menjemput tukang gunting rambut ke rumahnya.

"Jadon seorang yang baik namun dia harus lebih bijak dalam beberapa perkara.

"Memang semua orang perlu untuk menggunting rambut namun dia harus bijak dan lebih matang," kata Can kepada Sky tatkala kombinasi antara mereka berdua berjaya membantu Dortmund mencatat kemenangan 1-0 ke atas Hertha Berlin semalam.

Sancho dan rakan sepasukannya, Manuel Akanji kedua-duanya didenda oleh liga Jerman Jumaat lalu kerana melanggar peraturan Covid-19 memotong rambut di rumah mereka.

Terdapat bukti bergambar memaparkan Sancho, 20, dan pertahanan kelahiran Switzerland, Akanji menjemput tukang gunting rambut ke rumah mereka, dengan kesemua mereka tidak memakai sebarang alatan pencegah virus.

"Kita harus membimbing Jadon. Dia tidak lagi boleh melakukan kesilapan seperti itu pada masa akan datang dan kami selalu menasihatinya sebagai satu pasukan.

"Ia tidak mengganggu kami tapi kami tahu dia harus lebih berdisiplin dalam beberapa perkara.

"Saya tidak rasakan dia sengaja melakukan perkara berkenaan. Mungkin kadang-kadang dia terlalu mempercayai orang," kata Can

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 9:41 AM