Ahmad Zahid merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2024 hari ini. FOTO BERNAMA
Ahmad Zahid merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2024 hari ini. FOTO BERNAMA
Asrol Awang


Kuantan: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhasrat untuk memberikan tablet kepada setiap pelajar dalam merealisasikan sekolah digital yang lebih berkesan pada masa depan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun kekangan kewangan menjadi faktor utama tetapi ia boleh dilaksanakan secara berfasa.

Justeru, katanya, beliau akan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ,untuk mendapatkan peruntukan tambahan bagi pembelian tablet berkenaan bagi kemudahan kepada pelajar.

"Tahun ini, RM58.7 bilion diperuntukkan kepada KPM, namun saya yakin untuk bajet tahun depan, ia akan bertambah kerana pembelian tablet bagi melaksanakan kaedah pembelajaran sistem digital ini.

"Sistem sudah ada, kaedah pengajaran ada dan apa yang diperlukan ialah tablet. Jika dapat dilaksanakan secara berfasa mulai tahun ini, saya fikir dalam tempoh empat atau lima tahun, majoriti pelajar akan dapat," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-53 2024 bertemakan Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) di sini, hari ini

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis sambutan itu, beliau berkata, 'Guru Jauhari Digital' boleh diistilahkan sebagai guru yang memiliki kemampuan dan pengetahuan untuk mengintegrasikan teknologi ke dalam kurikulum sehingga dapat meningkatkan pengalaman pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara kreatif dan inovatif.

"Kelebihannya, teknologi kini dapat membantu guru melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dengan lebih efisyen dan mampu mendorong minat dan keupayaan murid untuk mempelajari dan menguasai bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (Stem) yang amat penting pada masa kini," katanya.

Sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, beliau mahu guru turut sama memperkasakan Pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) yang kini bukan lagi pendidikan kelas kedua, bahkan menawarkan peluang yang jauh lebih luas untuk diteroka.

"Jika permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) boleh dibuat melalui sistem Unit Pusat Universiti (UPU), kerajaan turut proaktif memperkenalkan sistem permohonan ke 1,345 institusi TVET melalui UP_TVET.

"Kerajaan komited mengangkat tahap guru-guru pendidikan TVET ini supaya duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan guru yang lain.

"TVET ini sebagai 'game changer' yang dapat mengisi jurang yang wujud di pasaran pekerjaan dan kini kita berjaya membangunkan data para graduan berkemahiran TVET bagi memenuhi permintaan terhadap pekerja berkemahiran.

"KPM perlu berupaya mengatur strategi untuk memastikan keupayaan teknologi digital menjadi sebahagian daripada tradisi budaya menimba ilmu dalam kalangan generasi Madani," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 4:02 PM