RAHADIAZLI kurang mendapat minit permainan bersama TFC musim lalu.
RAHADIAZLI kurang mendapat minit permainan bersama TFC musim lalu.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penjaga gol meningkat naik Terengganu FC (TFC), Muhammad Rahadiazli Rahalim, 23, belum memutuskan lagi destinasinya dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) pada musim ini.

Penjaga gol nombor dua skuad Penyu itu menegaskan setakat ini dia belum memikirkan lagi pasukan bakal diwakilinya termasuk sama ada kekal bersama TFC ataupun bakal 'angkat kaki' meninggalkan skuad itu.

Sebelum ini ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner dalam sidang media selepas berdepan kelab Indonesia, Bali United dalam saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), mencadangkan agar penjaga gol kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) itu berhijrah bersama pasukan lain.

Jelas Steinbruckner, saranan itu demi masa depannya terutamanya bagi memantapkan lagi kualiti permainan lebih-lebih lagi perjalanan kariernya masih panjang.

"Setakat ini saya tidak tahu lagi beraksi bersama pasukan mana dalam saingan Liga M musim ini. Saya juga tidak boleh bagi kata putus lagi sama ada akan kekal bersama TFC ataupun sebaliknya, saya harap peminat dapat mendoakan perkara yang baik dalam karier," ujar pemain yang lebih mesra dipanggil Abe ketika dihubungi.

Sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas memaklumkan pemain itu masih bersama TFC biarpun pelbagai spekulasi mengenai perpindahannya dalam laman sosial termasuk ke Sri Pahang FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Lagipun Rahadiazli masih berbaki kontrak sehingga 2025 bersama TFC selain kualiti yang ada padanya menyaksikan dia terpilih menyarung jersi skuad kebangsaan B-23.

Berdasarkan persembahan bersama TFC pada musim lalu, dia kerap dibayangi penjaga gol berpengalaman, Suhaimi Husin sekali gus hanya tampil dalam sembilan perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 2:59 PM