PERTAHANAN Palestin Mohammed Saleh kecewa selepas pasukannya tewas di tangan Qatar. FOTO AFP
PERTAHANAN Palestin Mohammed Saleh kecewa selepas pasukannya tewas di tangan Qatar. FOTO AFP
Reuters

AL Khor, Qatar: Juara bertahan Qatar bangkit menewaskan Palestin 2-1 untuk mara ke suku akhir Piala Asia hasil jaringan Hassan Al-Haydos dan Akram Afif di Stadium Al Bayt, awal pagi tadi.

Qatar meraih kemenangan ke-11 berturut-turut di Piala Asia dan akan kembali ke stadium sama untuk aksi suku akhir menentang pemenang peringkat 16 di antara Uzbekistan dan Thailand malam ini.

Walaupun skuad Marquez Lopez melepaskan gol awal, Qatar kekal tenang dan klinikal ketika mencipta peluang terbaik untuk menghukum Palestin yang tampil kali pertama di peringkat kalah mati Piala Asia.

Stadium sepi seketika sebelum perlawanan bagi mengenang mangsa konflik Hamas-Israel dengan kedengaran penonton menjerit 'Bebaskan Palestin.'

Walaupun Qatar pasukan pilihan beraksi di tempat sendiri dan mendapat sorakan 64,000 penonton, Palestin terlebih dahulu mengancam dengan serangan awal pada babak pertama.

Kerja keras mereka berhasil pada minit ke-37 apabila Oday Dabbagh meledak rembatan melepasi jangkauan penjaga gol Meshaal Barsham untuk gol ketiganya di kejohanan itu dan juga jaringan pertama negaranya di peringkat kalah mati.

Walaupun Qatar ketinggalan, jaringan itu tetap mendapat sorakan penyokong tuan rumah ketika pemain Palestin melutut meraikan gol di penjuru padang.

"Ia aksi menentang Palestin dan ia emosional. Saya amat hormati dan saya faham penyokong kami (bersorak untuk Palestin)," kata Lopez kepada wartawan.

"Ini bola sepak, anda boleh merancang tapi tidak semuanya mengikut perancangan itu. Pemain Palestin bermain sangat bagus dan mereka berani.

"Perkara paling penting kami layak (pusingan seterusnya) dan kami perlu kekal positifi untuk masa depan."

Ketua pasukan Qatar Al-Haydos menyamakan kedudukan menerusi rembatan sejurus sebelum rehat selepas menyambut hantaran rendah sepakan sudut Afif yang gagal diselamatkan penjaga gol Rami Hamadeh.

Qatar kemudiannya berada di depan beberapa minit selepas babak kedua menerusi penalti yang disempurnakan Afif susulan Almoez Ali dikasari Mohammed Saleh.

Palestin memiliki beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan tetapi ketumpulan penyudah menghampakan mereka sekali gus membantu kemaraan Qatar.

"Pemain saya memberikan segalanya walaupun berdepan situasi sukar. Saya tak dapat meminta lebih daripada mereka berbanding apa mereka lakukan," kata jurulatih Palestin Makram Daboub.

"Saya bangga, mereka bercita-cita besar dan mereka bangga mewakili rakyat Palestin. Kami mahu gembirakan mereka tapi maaf kami gagal. Kami harap dapat melakukan lebih baik dalam perlawanan akan datang."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 7:35 AM