KALVIN Phillips melakukan hantaran ke belakang yang menghadiahkan gol pertama kepada lawan. FOTO Agensi
KALVIN Phillips melakukan hantaran ke belakang yang menghadiahkan gol pertama kepada lawan. FOTO Agensi
Reuters

London: Penampilan sulung Kalvin Phillips bersama West Ham United menyaksikan dia menghadiahkan gol pertama kepada Bournemouth sebelum kembali bangkit untuk mengikat perlawanan 1-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Phillips yang juga tonggak tengah England yang dipinjamkan dari Manchester City melakukan kesilapan hantaran ke belakang seawal minit ketiga perlawanan untuk memberi Dominic Solanke meledak gol sekali gus merekodkan jaringan ke-13 dalam kempen musim ini.

West Ham hampir ketinggalan dengan dua gol namun ketangkasan Alphonse Areola yang menghalang percubaan Antoine Semenyo dan tandukan Tomas Soucek sebelum rehat memastikan defisit satu gol kekal hingga ke bilik persalinan.

Tuan rumah tampil lebih tersusun di babak kedua dan menyamakan kedudukan 1-1 pada minit 61 hasil sepakan penalti James Ward-Prowse, yang diraih selepas semakan VAR ekoran kekasaran dilakukan ke atas Mohammed Kudus.

Phillips dibawa keluar dan digantikan dengan penyerang, Danny Ings bagi memburu tambahan jaringan, namun pertahanan Bournemouth ampuh bertahan hingga wisel penamat.

Kedua-dua pasukan hanya berpuas hati dengan satu mata, di mana West Ham mengumpul 36 mata di tangga keenam manakala Bournemouth di kedudukan ke-12 dengan 26 mata dalam carta liga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 9:21 AM