AKSI persahabatan seteru La Liga antara Barcelona dan Real di Amerika Syarikat. FOTO Agensi
AKSI persahabatan seteru La Liga antara Barcelona dan Real di Amerika Syarikat. FOTO Agensi
AFP

Arlington: Barcelona menumpaskan Real Madrid 3-0 dalam aksi persahabatan hasil jaringan awal Ousmane Dembele dan dua gol hujung saingan daripada Fermin Lopez serta Ferran Torres.

Stadium AT&T yang menjadi gelanggang pasukan NFL, Dallas Cowboys penuh dengan kehadiran penonton dan menjadi saksi permainan penuh bersemangat walaupun perlawanan itu adalah pemanas badan pramusim.

Oriel Romeu menggegarkan palang Real dengan rembatan kencang pada minit keempat tetapi tidak lama kemudian Barca berjaya menggembirakan penyokong mereka.

Sepakan percuma yang dilakukan dengan bijak menyaksikan Pedri melakukan hantaran ke arah Dembele sebelum melepaskan rembatan ke penjuru gawang gol lawan.

Real mempunyai peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan, lima minit kemudian apabila bola terkena tangan pertahanan Barcelona, Ronald Araujo di dalam petak penalti namun sepakan yang diambil Vinicius Junior melewati palang.

Palang menafikan hasrat Real sekali lagi melalui rembatan Vinicius dan walaupun Jude Bellingham berjaya mengatasi penjaga gol Barca, Marc Andre ter Stegen, tandukan pemain tengah itu terkena tiang.

Nasib malang Real berterusan selepas rehat dengan sepakan Aurelien Tchouameni mengenai palang, manakala percubaan Vinicius dari sudut sukar tersasar keluar.

Tiada sebarang percubaan bahaya daripada kedua-dua pasukan, walaupun melakukan pertukaran pemain secara besar-besaran, tetapi penyudah Barcelona terbukti menjadi perbezaan dengan pemain gantian, Fermin Lopez menjadikan kedudukan 2-0 hasil rembatan cantik dari luar kotak penalti pada minit ke-85.

Vinicius, yang berlari masuk dari sebelah kiri, menyaksikan percubaannya sekali lagi mengenai palang namun Barca mengesahkan kemenangan pada masa kecederaan.

Ferran Torres, berlari menyambut hantaran Lopez, memperdayakan penjaga gol, Thibaut Courtois sebelum memasukkan bola ke dalam pintu gol yang kosong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 8:30 AM