DUA pemain Leganes menyekat kemaraan pemain tengah Real Madrid,  Luka Modric (tengah). - FOTO EPA
DUA pemain Leganes menyekat kemaraan pemain tengah Real Madrid, Luka Modric (tengah). - FOTO EPA
Reuters

REAL Madrid membelasah kelab bawahan, Leganes 5-0 dalam perlawanan yang menyaksikan kapten Sergio Ramos menjaringkan gol ke-16 berturut-turut dalam aksi La Liga , awal pagi tadi.

Pemain pertahanan itu muncul pemain kedua selepas bintang Barcelona, Lionel Messi menjaringkan 16 gol berturut-turut dalam kempen liga Sepanyol apabila dia menjaringkan penalti untuk gol ketiga Madrid pada minit ke-24.

Sepakan Ramos pada mulanya diselamatkan tetapi diberi peluang kedua selepas reviu VAR mendapati penjaga gol Leganes, Juan Soriano tidak berada di atas garisan gol .

Real bermula garang di Santiago Bernabeu apabila mendahului pada minit ketujuh menerusi pemain berusia 18 tahun, Rodrygo Goes dan menggandakan kelebihan 60 saat kemudian menerusi Toni Kroos.

Madrid diberikan penalti pada babak kedua tetapi Ramos memberikan bola kepada Karim Benzema dan bintang Perancis tidak melakukan kesilapan untuk gol keempat.

Jaringan pemain gantian, Luka Jovic dibatalkan angkara offsaid tetapi pemain Serbia itu akhirnya memperolehi gol pertama bersama kelab sejak berpindah dari Eintracht Frankfurt pada Jun lalu dengan tandukan pada masa tambahan.

Jurulatih Real, Zinedine Zidane memuji prestasi dua penyerang muda, Rodrygo dan Jovic selain pemain veteran, Benzema selepas kemenangan terbesar mereka dalam semua kejohanan musim ini.

Madrid kini di tangga kedua La Liga dengan 21 mata, ketinggalan satu mata di belakang pendahulu, Barcelona yang turut beraksi 10 perlawanan manakala Leganes kekal tercorot dengan lima mata.

Granada yang mempunyai 20 mata boleh memintas Real dan Barca apabila berkunjung ke Getafe awal pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 8:47 AM