PEMAIN  Fiorentina, Maxime Lopez meraikan kemenangan bersama rakan sepasukan.
PEMAIN Fiorentina, Maxime Lopez meraikan kemenangan bersama rakan sepasukan.
Reuters

Florence: Fiorentina menewaskan pencabar Serie A, Bologna 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti untuk mara ke separuh akhir Piala Itali selepas perlawanan berakhir tanpa jaringan, awal pagi tadi.

Sepakan penalti kelima pertahanan Bologna, Stefan Posch melepasi palang sebelum pemain tengah Fiorentina, Maxime Lopez memastikan finalis tahun lalu itu mara ke peringkat separuh akhir.

Bologna, yang menyingkirkan juara bertahan Inter Milan dalam pusingan 16 terakhir lebih banyak menguasai bola tetapi tidak berjaya memecahkan benteng pasukan lawan.

Pelawat hampir menjaringkan gol pada minit ke-34 apabila percubaan penyerang, Joshua Zirkzee terkena palang dari jarak dekat sebelum rembatan pemain sayap, Riccardo Orsolini sedikit tersasar sejurus selepas rehat.

Namun Fiorentina yang berada di kedudukan keempat Serie A dengan 33 mata, satu mata di hadapan Bologna yang berada di tangga kelima, bertahan teguh di bahagian pertahanan sebelum mara ke separuh akhir untuk kali ketiga berturut-turut buat kali pertama.

Mereka seterusnya akan menentang pemenang perlawanan awal pagi esok antara AC Milan dan Atalanta dalam dua peringkat perlawanan separuh akhir pada April.

Lazio menerima kunjungan AS Roma dalam satu lagi pertembungan derby suku akhir manakala Juventus menentang Frosinone di laman sendiri pada awal pagi Jumaat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 10:29 AM