TFC II muncul juara Piala MFL selepas menewaskan JDT II.
TFC II muncul juara Piala MFL selepas menewaskan JDT II.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Skuad Terengganu FC II (TFC II) berjaya muncul juara Piala MFL musim pertama pada November lalu selepas menumpaskan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) 1-0.

Kejayaan skuad kendalian bekas penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar itu sudah pasti tidak datang bergolek sebaliknya hasil usaha keras selain ramai pemain berkualiti berada dalam skuad The Turtles itu.

Namun melihat senarai pemain diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi menyertai kem latihan pusat bermula 19 hingga 27 Disember 2023 sebagai persiapan menjelang kempen Piala Asia B-23, 2024 di Qatar, April depan, timbul persoalan dalam kalangan penggiat sukan itu cara pemilihan pemain yang dilihat pelik.

Jika dilihat dalam senarai, hanya dua pemain muda dari Terengganu dipanggil iaitu penjaga gol, Muhammad Rahadiazli Rahalim dan pertahanan, Muhammad Safwan Mazlan.

Sebaliknya pemain Selangor II mendominasi iaitu lapan pemain biarpun pasukan itu tidak berjaya melangkah ke final Piala MFL diikuti naib juara Piala MFL, JDT II dengan lima pemain.

Persoalannya adakah pemain lain yang berada dalam skuad muda Terengganu itu tidak layak atau berkualiti?

Atau ketua jurulatih skuad Harimau Malaya B-23, Juan Torres Garrido tidak memikirkan minit permainan sebaliknya hanya mengambil pemain 'tangkap muat' sahaja dan pilih kasih?

Bekas pemain tengah Terengganu dan kebangsaan, Tengku Alias Tengku Ibrahim, berkongsi pandangan dengan menegaskan sepatutnya lebih ramai lagi pemain TFC II itu boleh dipanggil menjalani latihan dalam kem skuad kebangsaan selepas muncul juara Piala MFL bulan lalu.

"Pandangan saya pemain TFC II berhak mendapat tempat dalam skuad kebangsaan B-23 kerana ramai pemain muda berkualiti dan boleh menerajui skuad itu terutama mereka sudah membuktikannya selepas muncul juara Piala MFL dengan hanya mengalami dua kekalahan sepanjang musim.

"Saya sangat berkeyakinan jika diberi ruang dan peluang kepada beberapa pemain, mereka berpotensi besar untuk mewakili skuad negara, jika dilihat dalam senarai dikeluarkan FAM, hanya dua pemain TFC yang terpilih, jadi terlalu banyak persoalan timbul mengenai isu pemilihan pemain skuad negara B-23 ini.

"Adakah pemain dinilai dari segi prestasinya? Atau minit permainan? Atau lain-lain kriteria? Namun apa yang pasti pemilihan itu kurang memuaskan kerana ini skuad kebangsaan, bukannya pasukan negeri atau kelab.

"Justeru saya berharap mana-mana jurulatih yang layak atau dipertanggunjawab untuk kendalikan skuad kebangsaan biarlah telus dari segi pemilihannya dan hanya pemain-pemain yang berkualiti layak dipanggil membarisi skuad kebangsaan," ujar bekas pemain Terengganu yang menjulang Piala Malaysia pada musim 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 4:10 PM