BEKAS pemain TFC II, Muhammad Zuasyraf Zulkiefle dipilih menyarung jersi skuad utama musim ini. FOTO TFC
BEKAS pemain TFC II, Muhammad Zuasyraf Zulkiefle dipilih menyarung jersi skuad utama musim ini. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kejayaan empat pemain Terengganu FC II (TFC II) 'dinaikkan pangkat' beraksi bersama pasukan utama, Terengganu FC (TFC) musim ini menggembirakan pengendalinya, Badrul Afzan Razali.

Badrul yang dibantu bekas pemain kebangsaan, Subri Sulong membimbing skuad TFC II musim lalu akui Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pasukannya untuk melahirkan lebih ramai pemain berkualiti sebagaimana yang ditetapkan pihak pengurusan tercapai.

Empat pemain berkenaan termasuk penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin, Syafik Ismail (sayap), Muhammad Hairiey Hakim Mamat (pertahanan kiri) dan pemain tengah, Muhammad Zuasyraf Zulkiefle.

Badrul menambah, selain berjaya menempatkan diri dalam skuad utama, beberapa pemainnya juga turut diintai pasukan lain dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Malah katanya, pemain TFC II juga berjaya menarik perhatian jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan, Brad Maloney apabila tiga pemainnya iaitu Syafik, Muhammad Hairiey Hakim dan Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar dipilih menyarung jersi skuad negara.

"Sebagai jurulatih sudah tentu saya begitu gembira dengan pencapaian mereka yang terpilih menyarung jersi skuad utama musim ini.

"Selain itu ada beberapa pemain juga sedang berunding dengan pasukan lain yang beraksi dalam saingan Liga M musim ini.

"Perkembangan ini sesuatu yang positif bukan sahaja kepada pasukan yang berjaya melahirkan ramai pemain berkualiti, tapi lebih penting kepada pemain itu sendiri kerana ada antara mereka berjaya menyarung jersi skuad kebangsaan B-23 Tahun.

"Sejujurnya masih ada beberapa lagi pemain yang boleh diketengahkan beraksi bersama pasukan utama dan juga kebangsaan, namun masih belum tiba masanya buat mereka dipanggil, Insya-Allah kami akan gilap mereka lagi," kata bekas pemain tengah Terengganu itu ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 1:29 PM