KEADAAN terkini padang SNBJ berdasarkan pemandangan dari atas. FOTO ihsan UTUSAN ONLINE
KEADAAN terkini padang SNBJ berdasarkan pemandangan dari atas. FOTO ihsan UTUSAN ONLINE
Firdaus Hashim & Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akhirnya tampil memohon maaf kepada seluruh penggiat dan peminat bola sepak tempatan khususnya pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC).

Ia susulan keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang jelas tidak berada pada kondisi terbaik ketika aksi final Piala Malaysia itu hanya berbaki 24 jam sebelum sepak mula malam esok.

Menerusi kenyataan media hari ini, PSM memohon maaf kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selaku badan penganjur saingan Piala Malaysia 2023.

PSM mengakui tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membaiki dan mengembalikan padang ke tahap optimum selepas konsert Coldplay yang berlangsung pada 22 November lalu.

"PSM komited melakukan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) untuk pengurusan acara di Stadium Nasional pada masa hadapan," jelas kenyataan itu.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan permukaan padang tidak bersedia lagi untuk 'menyambut' aksi final Piala Malaysia babitkan pertembungan skuad Penyu dan Harimau Selatan itu.

Terdapat dua bahagian yang dilihat bertampal dan tidak rata terutama di bahagian tengah padang dan belakang padang di sebelah kanan dari arah tempat duduk kenamaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 9:20 PM