SNBJ sekali lagi menjadi pilihan sebagai venue perlawanan akhir Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung 26 November ini. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
SNBJ sekali lagi menjadi pilihan sebagai venue perlawanan akhir Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung 26 November ini. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penyokong bola sepak tanah air tidak perlu risau mengenai keadaan padang di Stadium Nasional, Bukit Jalil (SNBJ) apabila Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akan memastikan venue berkenaan berada pada tahap terbaik menjelang aksi final Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Faidz Sanusi berkata, pihaknya komited memastikan semua kemudahan yang di SNBJ berada pada tahap optimum termasuklah menjaga kualiti padang supaya tidak bermasalah.

"Ini berita yang baik bukan sahaja kepada PSM selaku tuan rumah, malah buat semua peminat bola sepak yang akan hadir untuk merasai bahang final Piala Malaysia di Stadium Nasional.

"Dalam memastikan kelancaran penganjuran final Piala Malaysia itu, sudah pasti pihak PSM akan mengambil langkah-langkah tertentu dalam memastikan fasiliti di stadium di tahap terbaik termasuk juga keadaan padang. Malah proses penjagaan rapi akan terus dilakukan menjelang aksi final itu nanti" katanya.

Sebelum ini, SNBJ sekali lagi menjadi pilihan sebagai venue perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2022 yang dijadualkan berlangsung 26 November ini.

Mengikut rekod, pemilihan SNBJ yang dianggap venue neutral paling sesuai bagi penganjuran aksi final Piala Malaysia edisi ke-96 itu dibuat atas beberapa faktor iaitu keadaan padang, kapasiti stadium, penyiaran, akses pengangkutan awam, kemudahan dan ruang yang luas untuk aktiviti penaja serta keselesaan dan keselamatan penonton.

Pada masa sama, Faidz berkata pihaknya turut menyambut baik keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang memilih Stadium Nasional sebagai venue perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali ke-14 sejak kali pertama dianjurkan di venue tersebut pada 1998.

"Bagi pihak PSM kami amat mengalu-alukan kerjasama dengan MFL bagi penganjuran perlawanan akhir ini yang secara tidak langsung mengukuhkan lagi jenama Stadium Nasional sebagai hub sukan terbaik negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 5:50 PM