Kpah Sean Sherman (kiri) meraikan gol kedua ketika menentang PJ City FC pada aksi Liga Super. FOTO Luqman Hakim Zubir
Kpah Sean Sherman (kiri) meraikan gol kedua ketika menentang PJ City FC pada aksi Liga Super. FOTO Luqman Hakim Zubir
Izzali Ismail


Alor Setar: Misi meraih tiga mata di laman sendiri tercapai apabila Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berjaya menewaskan Petaling Jaya (PJ) City FC, 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

KDA FC memperoleh jaringan menerusi kapten pasukan Baddrol Bakhtiar, penyerang Kpah Sherman dan Fayadh Zulkifli.

PJ City yang melakukan serangan balas mendapat peluang terbaik menerusi Sunil Caven yang dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Fandi Othman yang mendorong pengadil memberi sepakan penalti pada minit ke-39 dan peluang ini tidak disia-siakan oleh Kogileswaran Raj untuk PJ City mencetak gol pertama.

Kedah bangkit pada babak kedua, hasil tandukan cantik Baddrol Bakhtiar pada minit ke-47 berpunca dari sepakan sudut Rabih Ataya.

Skuad hijau kuning itu terus mengejutkan PJ City apabila penyerang utamanya, Kpah Sherman berjaya meledak gol kedua melalui hantaran Baddrol Bakhtiar sekali gus menewaskan penjaga gawang PJ City Kalamullah Al-Hafiz.

Pemain muda gantian untuk Kedah, Fayadh Zulkifli terus menambah duka buat skuad kendalian P Maniam apabila meledak gol ke-3 Kedah apabila mendapat hantaran cantik Azamuddin Akil dan kedudukan 3-1 itu kekal hingga hujung perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 11:11 PM