REAKSI Jesus selepas menjaringkan kedua Arsenal.
REAKSI Jesus selepas menjaringkan kedua Arsenal.
AFP

Seville, Sepanyol: Gabriel Jesus menjaringkan gol menarik dan membantu mencipta satu lagi jaringan untuk Arsenal meraih kemenangan penting selepas menewaskan Sevilla 2-1 dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Kelincahan penyerang Brazil itu membolehkan Gabriel Martinelli meledak gol pembukaan dan dia menggandakan jaringan dengan penyudah tajam bagi meletakkan skuad Mikel Arteta ke puncak Kumpulan B.

Sevilla pula memperoleh jaringan menerusi tandukan Nemanja Gudelj selepas sejam perlawanan hasil sepakan sudut Ivan Rakitic.

Arsenal kini melonjak dengan enam mata, satu mata di depan Lens selepas kelab Perancis itu seri 1-1 di tempat sendiri dengan PSV Eindhoven yang sama dua mata dengan Sevilla.

Skuad Diego Alonso mempamerkan tentangan bersemangat dalam aksi kedua jurulatih dari Uruguay itu mengendalikan pasukannya.

Pada Sabtu lalu, mereka seri dengan pendahulu La Liga Real Madrid dalam aksi sengit dan tegang.

Namun Arsenal lebih berbisa ketika serangan dan kualiti Jesus menjadi pemisah dalam aksi menghiburkan di Andalusia -- dia menjaringkan gol dalam setiap perlawanan di kejohanan itu.

"Dia datang ke sini ada sebab, mengubah dunia kami, dia membawa keyakinan dan semangat kepada pasukan," kata Arteta kepada pasukan.

"Pasukan bergantung kepada pemain seperti itu untuk menang perlawanan. Kami perlukan pemain ini. Datang ke sini untuk menang, kredit kepada pemain saya."

Namun satu aspek negatif untuk Arsenal ialah Jesus tercedera pada lewat permainan yang menurut Arteta dia mengalami kecederaan hamstring.

"Dia cedera hamstring dan terpaksa dikeluarkan. Saya risau dengan situasi itu."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 7:48 AM