PEMAIN Negeri Sembilan, Anselmo Arrauda Da Silva diasak pemain PDRM pada perlawanan Liga Super di antara Negeri Sembilan FC menentang PDRM FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman. FOTO AZRUL EDHAM
PEMAIN Negeri Sembilan, Anselmo Arrauda Da Silva diasak pemain PDRM pada perlawanan Liga Super di antara Negeri Sembilan FC menentang PDRM FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman. FOTO AZRUL EDHAM
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan FC ( NSFC) kembali merasai nikmat kemenangan apabila berjaya menewaskan PDRM FC, 2-0, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Kemenangan itu mampu memberi nafas baharu buat skuad bimbingan K Devan dalam misi mereka untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga serta menamatkan saingan musim ini pada kedudukan lebih baik ketika cabaran mereka berbaki dua perlawanan lagi.

Terdahulu, kedua-dua pasukan mempamerkan persembahan seimbang dan tiada penyudahan tepat dapat dilakukan barisan depan pasukan masing-masing.

Meskipun berusaha melakukan serangan, namun setiap kali percubaan ke kawasan lawan gagal menemui sasaran selain dapat dipatahkan bahagian pertahanan lawan.

Melalui satu serangan pantas gandingan Bruno Suzuki dengan Dzulfahmi Abdul Hadi, hampir memberi peluang buat PDRM menembusi gawang gol Negeri Sembilan pada minit ke-27, tetapi kecekapan penjaga gol tuan rumah, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, berjaya menafikan usaha pasukan pelawat.

Negeri Sembilan turut mempunyai peluang terbaik mendapatkan gol pada minit ke-42 yang berpunca daripada tendangan sudut, bagaimanapun suasana kelam kabut dalam kotak penalti PDRM, gagal dimanfaatkan dengan baik barisan depan tuan rumah meskipun terdapat tiga pemain dalam kawasan gol lawan itu.

Kedudukan seri tanpa jaringan mengakhiri separuh masa pertama.

Skuad Hobin Jang Hobin bagaimanapun tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol sebaik aksi bersambung, apabila R Barathkumar memanfaatkan bola hantaran lintang Herold Goulon apabila dengan mudah menolak bola ke gawang, untuk gol pertama Negeri Sembilan, menewaskan penjaga gol PDRM, Mohamad Ramdhan Abdul Hamid pada minit ke-47.

Jaringan itu ternyata membakar semangat pemain Negeri Sembilan dan mereka dilihat terus bekerja keras dengan melakukan serangan serta asakan ke kawasan kubu PDRM untuk menambah gol.

Usaha mereka itu berhasil apabila pemain gantian A Selvan yang baru masuk kira-kira minit, menyambut dengan baik bola hantaran lintang Mohammad Izzudin Mohd Roslan dan kemudian menolak dengan kemas ke dalam gawang PDRM bagi gol kedua Negeri Sembilan pada minit ke-78.

Anak buah Datuk Yunus Alif dilihat cuba menggandakan asakan ke kawasan kubu Negeri Sembilan dalam usaha untuk mendapatkan gol pada penghujung saingan, namun usaha itu dilihat sudah terlewat apabila tuan rumah menukar strategi memperkukuhkan bahagian pertahanan sekali gus menyukarkan PDRM untuk menembusi gawang lawan itu sehingga perlawanan berakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 11:12 PM