PEMAIN Kelantan United puas dapat curi satu mata di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. FOTO AZRUL EDHAM
PEMAIN Kelantan United puas dapat curi satu mata di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. FOTO AZRUL EDHAM
Mohd Amin Jalil


Seremban: Hasrat Negeri Sembilan FC (NSFC) untuk mencipta kemenangan hatrik tidak kesampaian apabila sekadar seri dengan Kelantan United FC, 3-3, dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Selepas menang ke atas Kuala Lumpur (KL) City FC dan PDRM FC dalam aksi sebelum ini, prestasi cemerlang skuad Hobin Jang Hobin gagal diteruskan.

Kelantan United yang belum meraih sebarang kemenangan dilihat bermula garang dengan melakukan asakan ke kubu Negeri Sembilan.

Usaha itu membuahkan hasil apabila Jose Elmer Porteria meledak gol pertama Kelantan United pada minit ke-15.

Jaringan itu terhasil melalui serangan balas pantas apabila pemain import berkenaan bijak melarikan bola ke dalam kawasan penalti dan memperdayakan dua pertahanan tuan rumah sebelum merembat deras ke gawang Negeri Sembilan menewaskan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Jaringan pasukan pelawat itu menyentap semangat dan kemampuan anak buah K Devan yang turun dengan misi mendapatkan kemenangan hatrik.

Namun begitu, akibat kelekaan dan kegagalan menyekat gerakan pantas Kelantan United, gawang Negeri Sembilan bolos buat kali kedua menerusi gol dijaringkan oleh Mohd Syazwan Zainol pada minit ke-33 apabila dia memanfaatkan bola hantaran lintang Indra Putra Mahyuddin.

Bagaimanapun tiga minit kemudian Negeri Sembilan mula mempamerkan kebangkitan apabila memperoleh sepakan penalti susulan berlaku kesalahan pemain pelawat dalam kotak penalti.

Sepakan yang diambil kapten pasukan, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak gagal ditangkap kemas penjaga gol Kelantan United, Ahmad Asyraf Omar sebelum Shahrel Fikri Md Fauzi menyambar bola itu dan merembat deras ke dalam gawang pelawat pada minit ke-36.

Negeri Sembilan terpaksa menunggu pada minit ke-70 untuk mendapatkan gol penyamaan menerusi jaringan cantik pemain gantian Mohamad Hafiz Ramdan.

Indra Putra kemudian menjaringkan gol ketiga Kelantan United melalui sepakan penalti pada minit ke-79 manakala gol penyamaan Negeri Sembilan dijaringkan pemain gantian, Fileman Anyie Standly pada masa kecederaan untuk kedua-dua pasukan berpuas hati berkongsi satu mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 11:35 PM