PEMAIN NSFC, Pinto mengasak pemain Terengganu, Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman. FOTO AZRUL EDHAM
PEMAIN NSFC, Pinto mengasak pemain Terengganu, Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman. FOTO AZRUL EDHAM
Mohd Amin Jalil


Seremban: Dendam Negeri Sembilan FC (NSFC) terhadap Terengganu FC (TFC) akhirnya berbalas apabila mencatat kemenangan 2-1, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Dalam dua perlawanan sebelum ini di tempat lawan termasuk pada aksi Piala FA, Negeri Sembilan tewas 0-1 dan seri 0-0.

Skuad bimbingan K Devan yang mendapat sokongan lebih 8,000 penyokong, berjaya memanfaatkan kelebihan di laman sendiri untuk mencatat kemenangan sekali gus menebus kekecewaan lalu.

Dengan kemenangan itu, Negeri Sembilan mengumpul 23 mata namun kekal di tempat ketiga carta.

Terdahulu, tempoh permainan kedua-dua pasukan tampak begitu agresif dengan mereka saling menyerang antara satu sama lain.

Pada minit ke-14, gawang Negeri Sembilan nyaris bolos melalui sepakan deras Mohamad Faisal Halim dari sebelah kiri namun penjaga gol tuan rumah, Ahmad Syihan Hazmi Mohamad berjaya melonjak dan menepis bola berkenaan sekali gus terselamat pintu gol Negeri Sembilan.

Skuad Hobin Jang Hobin kemudian kembali mengatur gerak ke dalam kawasan Terengganu dan berjaya membuka tirai jaringan menerusi Yashir Pinto pada minit ke-17.

Gol pertama Negeri Sembilan itu terhasil hasil lorongan bola lintang oleh Che Rashid Che Halim ke hadapan pintu dengan melepasi dua pertahanan pelawat dan dengan mudah menewaskan penjaga gol Terengganu, Muhammad Rahadiazli Rahalim.

Jaringan pendahuluan itu, bagaimanapun tidak bertahan lama apabila melalui serangan balas pantas, kapten Terengganu, Tchetche Kipre menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-19.

Jaringan itu berpunca daripada keadaan kucar-kacir dalam kawasan gol tuan rumah sekali gus menewaskan Ahmad Syihan.

Kedua-dua pasukan yang memiliki reputasi tersendiri terus menggandakan asakan ke kawasan kubu masing-masing untuk mencari gol kemenangan.

Pada minit ke-37, kawasan gol Negeri Sembilan diuji sekali lagi menerusi sepakan lintang Faisal, namun Kipre sedikit terlambat untuk menyambar bola berkenaan dengan baik.

Bersambung babak kedua perlawanan, Negeri Sembilan yang dilihat memperkemaskan semula serangan mereka dan berjaya menjaringkan gol kedua menerusi Gustavo Almeida pada minit ke-51.

Almeida menyambar dengan baik bola tangkapan kurang kemas Rahadiazli, dengan sepakan yang menggegar jaring Terengganu.

Anak buah Nafuzi Zain yang berusaha mendapatkan gol penyamaan dilihat terus memberi tekanan terutama pada penghujung babak perlawanan, namun usaha mereka tidak kesampaian apabila keputusan 2-1 yang berpihak kepada tuan rumah kekal sehingga ke wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 11:29 PM