PENYERANG Sabah FC, Darren Lok (kanan) cuba melepasi pemain pertahanan Selangor FC. FOTO FC SABAH FC
PENYERANG Sabah FC, Darren Lok (kanan) cuba melepasi pemain pertahanan Selangor FC. FOTO FC SABAH FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui beberapa tonggak utama pasukan terpaksa beraksi tanpa henti sejak dua tahun lalu hingga terlalu penat seterusnya menjejaskan prestasi mereka ketika mengharungi saingan Liga Super.

Kim Swee berkata, ketika ini jadual anak buahnya yang terpaksa beraksi untuk skuad kebangsaan cukup padat dan perlu merehatkan mereka bagi memastikan berada di tahap optimum.

"Kamu kena tengok pemain yang beraksi untuk skuad kebangsaan seperti Dominic Tan dan Stuart Wilkin, berdasarkan masa permainan mereka yang bermain tanpa henti sejak Piala AFF, dua tahun lalu.

"Mereka kembali ke pangkuan kelab dan bermain lagi dengan skuad kebangsaan, lihat pemain terbabit yang sudah semestinya sangat penat," katanya selepas perlawanan menentang Selangor FC, malam tadi.

Selangor FC terus mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super selepas menang 1-0 ke atas Sabah FC dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Gol tunggal skuad kendalian Tan Cheng Hoe dihasilkan menerusi gerakan menarik Faisal Halim dan Richmond Boakye sebelum disudahi Ayron Del Valle untuk kedudukan 1-0 pada minit ke-23.

Sementara itu, Kim Swee berkata, jika kedua-dua pemain itu (Dominic Tan dan Stuart Wilkin) dipanggil lagi untuk menyarung jersi kebangsaan, ia akan memperlihatkan pemain itu akan bermain tanpa henti sehingga hujung 2024 nanti.

"Jika mereka dipanggil bersama skuad kebangsaan lagi selepas ini, mereka akan bermain tanpa henti sehingga 2024.

"Kami tidak boleh harapkan mereka beri prestasi terbaik setiap minggu dan sememangnya keletihan akan menjadi punca utama," katanya.

Selain itu, beliau turut berpuas hati dengan aksi anak buahnya yang tetap memberikan saingan sengit walaupun akhirnya tewas di tangan Selangor FC.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 2:49 PM