AB Rasid memaklumkan pihaknya belum mahu memikirkan perkara berkenaan kerana fokusnya kini adalah untuk mengutip sembilan mata. FOTO GHAZALI KORI
AB Rasid memaklumkan pihaknya belum mahu memikirkan perkara berkenaan kerana fokusnya kini adalah untuk mengutip sembilan mata. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd belum mahu memutuskan lagi sama ada bakal melakukan pertukaran pemain import dan tempatan atau sebaliknya pada jendela kedua perpindahan pemain yang bermula 5 Julai hingga 1 Ogos depan.

Hal ini kerana skuad bimbingan jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner itu kini mahu menumpukan sepenuh perhatian dalam baki tiga lagi perlawanan Liga Super pusingan pertama selain aksi suku akhir Piala FA menentang Kelantan FC.

Perkara itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Rasid Jusoh yang memaklumkan pihaknya belum mahu memikirkan perkara berkenaan kerana fokusnya kini adalah untuk mengutip sembilan mata dalam baki saingan liga pusingan pertama selain Piala FA.

Jelas Ab Rasid, beliau tidak rela skuad Penyu 'kehilangan' mata lagi selepas setakat ini hanya mengumpul 13 mata selepas sepuluh perlawanan dengan menghuni di tangga kelapan liga.

"Setakat ini kami belum membuat keputusan lagi berhubung perkara itu (pertukaran pemain) pada jendela kedua perpindahan yang dijadualkan bermula Julai nanti.

"Sebaliknya tumpuan kami kini adalah terarah untuk mengutip mata penuh daripada baki tiga perlawanan pusingan pertama liga selain saingan Piala FA yang kini memasuki peringkat suku akhir.

"Jadi barisan kejurulatihan yang diketuai Tommy (Steinbruckner) sedang mempersiapkan pasukan dengan mengadakan latihan yang lebih terancang dan berstruktur dalam tempoh rehat ini bagi memastikan pemain kekal cergas dan bertenaga sebelum menentang Sabah FC pada 19 Mei ini di Stadium Likas," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu peminat setia skuad Penyu mengharapkan akan ada pertukaran pemain import terutama di jentera serangan dan tengah skuad itu selepas dilihat kurang efektif lebih-lebih lagi baharu meledak 13 gol setakat ini dalam aksi liga.

Musim ini TFC 'merantai' sembilan pemain import iaitu Ivan Mamut (Croatia), Jordan Mintah (Ghana) dan Adisak Kraisorn (Thailand) yang beraksi di posisi penyerang, Habib Haroon (Bahrain), Domagoj Pusic (Croatia), Omid Nazari (Filipina) dan Sony Norde (Haiti) menjana bahagian tengah manakala Argzim Redzovic (Montenegro) dan Sardor Kulmatov (Uzbekistan) beraksi di posisi pertahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 2:15 PM