HABIB (kiri) elak dijerat KL Rovers FC Jumaat ini. FOTO GHAZALI KORI
HABIB (kiri) elak dijerat KL Rovers FC Jumaat ini. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Sekali pun bakal menentang pasukan divisyen tiga, Kuala Lumpur Rovers FC (KL Rovers FC) pada aksi pusingan 16 saingan Piala Malaysia, kapten Terengganu FC (TFC) Habib Haroon tidak berasakan tugas mudah untuk menjinakkan skuad itu.

Sebaliknya pemain kelahiran Manama, Bahrain itu akui tugas berliku tetap menanti pasukannya berdepan juara Liga M3 musim ini itu.

Tambah 'arkitek' berusia 23 tahun itu, keinginan lawan untuk melakar kejutan menewaskan pasukan divisyen satu dijangka bakal memberikan suntikan 'luar biasa' buat skuad kendalian Wan Mustafa Wan Ismail itu.

Bagaimanapun Habib yang sudah tiga musim menyarung jersi TFC menegaskan, skuadnya sudah bersedia 100 peratus untuk berdepan lawan lebih-lebih lagi bagaikan 'harimau terluka' selepas seri dalam tiga aksi terakhir berturut-turut.

"Bagi kami tiada perlawanan yang mudah biarpun bakal berdepan dengan pasukan Liga M3. Setiap perlawanan kami dilatih bagaikan aksi final, jadi bermain pun macam final.

"Lagipun kita tidak tahu kekuatan sebenar KL Rovers kerana tidak pernah bertemu, jadi pastinya elemen kejutan dimahukan skuad itu lebih-lebih lagi saya difahamkan skuad itu membawa masuk empat pemain import Korea Selatan.

"Jadi kami perlu berwaspada dengan ancaman dan taktikal lawan bagi mengelak dijerat dan pada masa sama membawa pulang bekalan selesa sebelum aksi timbal balik," kata pemain yang menyarung jersi nombor 10 itu.

TFC bakal bertandang ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras Jumaat ini bagi aksi pertama sebelum melayani kunjungan pasukan itu dalam aksi kedua pada 18 Ogos di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 4:21 PM