REAKSI DI Lorenzo (tengah) selepas menjaringkan gol. FOTO AFP
REAKSI DI Lorenzo (tengah) selepas menjaringkan gol. FOTO AFP
AFP

Rom: Peluang Itali untuk kembali beraksi di Piala Dunia selepas lapan tahun masih seimbang apabila seri 1-1 ketika bertemu Switzerland pada kempen kelayakan Piala Dunia awal pagi tadi dengan Jorginho gagal menyempurnakan sepakan penalti di hujung perlawanan.

Skuad Azzurri kekal mengatasi Switzerland di tangga teratas Kumpulan C dengan kelebihan perbezaan gol.

Gol Giovanni Di Lorenzo pada separuh masa pertama menafikan jaringan pembukaan Silvan Widmer untuk pelawat seawal minit ke-11.

Kini kedua-dua pasukan perlu merebut satu tiket yang menjamin tempat ke Piala Dunia pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan dengan skuad bimbingan Roberto Mancini bakal berkunjung ke Ireland Utara manakala Switzerland menanti kehadiran Bulgaria.

Itali perlu menyamai keputusan diraih Switzerland untuk memastikan mereka layak ke Piala Dunia.

Situasi itu hampir sama pada 2017 apabila Itali gagal layak ke Piala Dunia buat kali pertama selepas enam dekad selepas tewas kepada Sweden secara agregat pada aksi playoff.

"Dia (Jorginho) adalah salah seorang pakar sepakan penalti kami dan dia mahu mengambil tanggungjawab itu," kata Mancini kepada stesen penyiar RAI.

"Kami beraksi dengan baik pada separuh masa kedua selepas tempoh sukar pada babak pertama. Satu-satunya yang gagal dilakukan adalah untuk menjaringkan gol."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 8:15 AM