FAISAL Halim meraikan gol keempat menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil. -FOTO Aswadi Alias
FAISAL Halim meraikan gol keempat menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil. -FOTO Aswadi Alias
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Di sebalik kebangkitan luar biasa dipamerkan skuad Harimau Malaya ketika bangkit tiga gol untuk menewaskan Kyrgyzstan 4-3, pengendali negara Kim Pan-gon berubah memarahi barisan pemainnya bak 'harimau' ketika waktu rehat di bilik persalinan pasukan.

Senario itu dikongsikan pemain sayap negara yang juga wira pasukan, Faisal Halim yang mengakui Pan-gon cukup marah selepas pasukan negara ketinggalan pada babak pertama biarpun sebelum itu mendahului di awal permainan.

Begitupun katanya, hasil teguran jurulatih dari Korea Selatan itu menyaksikan pemain negara tampil lebih bertenaga sehingga wisel penamat untuk menterbalikkan keputusan sekali gus meraih tiga mata pertama dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

"Jurulatih (Pan-gon) tak kata apa cuma dia marah. Kalau saya nak cerita (terperinci) dalam (situasi di bilik persalinan) mungkin tak OK lah untuk pasukan.

"Jurulatih macam 'harimau' lah (marah) pemain, tapi ia adalah karektor jurulatih Pan-gon yang tak nak anak buah beliau lalai sambil lewa.

"Itu yang ditekankan dalam bilik persalinan separuh masa kedua, kita cuba bangkit dan kita dibolosi. Kalau semua perasan, memang sukar untuk kita dapatkan tiga gol sebenarnya.

"Tapi rezeki kita sampai minit akhir kita berjaya," katanya ketika ditemui di zon media selepas berakhirnya aksi terbabit di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam tadi.

Dalam aksi itu, Faisal muncul wira pasukan apabila dia meledak gol keempat dalam masa kecederaan untuk menggembirakan hampir 17,000 penyokong setia Harimau Malaya di SNBJ.

Sebelum itu, kem negara terlebih dulu mendahului hasil tandukan Dion Cools seawal minit ketujuh sebelum pelawat meledak dua gol, masing-masing menerusi Zhyrgalbek Kairat (m-41) dan Batyrkanov Erniest (m-44) untuk mendahului pasukan negara.

Bersambung babak kedua, Kyrgyzstan yang dibimbing Stefan Tarkovic menambah gol ketiga hasil keadaan kelam kabut di depan gawang negara yang disudahkan Merk Kai (m-57).

Semangat skuad Harimau Malaya nyata tidak pernah luntur apabila pemain memperagakan kebangkitan dramatik pada 20 minit terakhir bermula jaringan sendiri Khristiin Brauzman (m-71) dan Cools (m-77) sebelum Faisal meledak untuk gol keempat.

"Syukur rezeki membuatkan kita berjaya, yang penting bukan jaringan saya yang terakhir tapi kesungguhan keseluruhan pemain dan pasukan dapat memberikan kemenangan kepada rakyat Malaysia itu paling penting.

"Kita bekerja keras dari awal minit, tak sangka keputusan berlaku sebiliknya. Tapi ini lah bola sepak, kita berusaha sampai minit akhir. Rezeki kita ada," kata pemain Selangor FC itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 1:53 PM