HAMIDIN (tengah) bersama Presiden FIFA Gianni Infantino (kanan) dan Presiden AFC Salman Ibrahim Al-Khalifa (kiri) ketika Majlis Pelancaran F:30. -Foto BERNAMA
HAMIDIN (tengah) bersama Presiden FIFA Gianni Infantino (kanan) dan Presiden AFC Salman Ibrahim Al-Khalifa (kiri) ketika Majlis Pelancaran F:30. -Foto BERNAMA
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Program F:30 yang dilancarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam dilihat dapat memberi gambaran jelas kepada semua ahli gabungan mengenai tanggungjawab mereka membentuk masa depan bola sepak negara dengan lebih baik.

Timbalan Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menegaskan pelancaran pelan hala tuju atau ‘road map’ itu memberi petanda betapa pentingnya kerjasama yang perlu diberikan ahli gabungan bagi memastikan misi utama pelan itu berjaya direalisasikan.

“Pelancaran F:30 ini adalah atas inisiatif presiden sendiri, Datuk Hamidin Mohd Amin berdasarkan pengalaman luasnya dalam bidang bola sepak selama ini,” kata Yusoff ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran F:30 yang berlangsung di ibu negara, semalam.

“Pada saya, pelan ini penting supaya semua ahli gabungan dapat melihat dengan lebih jelas mengenai hala tuju bola sepak negara yang dimulakan di bawah kepemimpinan Hamidin.

“Dengan pelan ini, segala perancangan perlu difahami oleh semua ahli gabungan dalam usaha kita mencapai tahap yang lebih baik dalam bola sepak.”

Program F:30 adalah Peta Hala Tuju atau ‘Roadmap’ FAM dalam tempoh 12 tahun dan antara inti patinya ialah menetapkan Harimau Malaya kembali ‘mengaum’ sebagai antara lima negara terbaik Asia menjelang 2030.

Peta hala tuju itu terbahagi kepada tiga pelan strategik merangkumi fasa pertama (2019-2022) untuk membina asas yang kukuh dari sudut tadbir urus, pertandingan, pembangunan modal insan dan infrastruktur, disusuli fasa kedua (2023-2026) untuk mencapai peringkat Asia, dan fasa ketiga (2027-2030) pula bertujuan melahirkan pasukan kebangsaan yang bertaraf dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 2:37 PM