MIRETTI dan and Andrea Cambiaso meraikan kemenangan Juventus. FOTO Reuters
MIRETTI dan and Andrea Cambiaso meraikan kemenangan Juventus. FOTO Reuters
AFP

Milan: Juventus terus bersaing dengan pendahulu Serie A Inter Milan selepas menang 1-0 di Fiorentina manakala Romelu Lukaku memacu kemenangan lewat Roma 2-1 ke atas Lecce, awal pagi tadi.

Skuad Massimiliano Allegri kini dua mata di belakang Inter hasil kemenangan sukar di Florence menerusi jaringan Fabio Miretti pada minit ke-10.

"Saya gembira kerana saya memburunya sekian lama dan akhirnya detik itu tiba. Saya harap momentum ini berterusan," kata Miretti kepada DAZN selepas meledak gol pertamanya untuk kelab.

Ia persembahan klasik Juventus di bawah kendalian Allegri yang pasukannya lebih banyak bertahan dan lebih gemar melancarkan serangan balas pantas.

"Anda perlu menang dalam suasana apa sekalipun dibantu pertahanan yang bagus," kata Allegri yang menegaskan pasukannya tidak terlalu memburu gelaran.

"Anda perlu selalu pandang ke hadapan tetapi tidak bermakna Scudetto. Inter, Milan dan Napoli semuanya lebih lengkap."

Dalam satu lagi perlawanan skuad Jose Mourinho, Roma hampir tewas mengejut di Stadio Olimpico apabila Pontus Almqvist meletakkan Lecce di depan minit ke-71.

Tetapi penyerang Iran, Sardar Azmoun menyamakan kedudukan minit-91 hasil tandukan yang juga jaringan pertamanya di Serie A manakala Lukaku muncul wira Roma dengan gol kemenangan menerusi rembatan kencang tiga minit kemudian.

Roma kini di tangga ketujuh, empat mata daripada slot Liga Juara-Juara dan satu mata di hadapan Lazio.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 8:56 AM