ANTONINI (kanan) meraikan jaringan menewaskan Buffon (tengah) selepas gerakannya tidak dikawal pertahanan Juventus.
ANTONINI (kanan) meraikan jaringan menewaskan Buffon (tengah) selepas gerakannya tidak dikawal pertahanan Juventus.

Milan: Gol masa kecederaan pemain tengah Genoa, Luca Antonini menyaksikan kekalahan sulung Juventus musim ini manakala kemenangan 2-0 AS Roma membolehkan pencabar kejuaraan itu berkongsi kedudukan teratas Serie A Itali, awal pagi semalam.

Kekalahan 0-3 Udinese kepada Fiorentina membolehkan AC Milan yang seri 1-1 dengan Cagliari, melonjak tiga anak tangga ke tangga ketiga dengan Sampdoria kekal di tangga keempat sekalipun tewas gol minit terakhir 0-1 kepada Inter Milan.

Milan dan Sampdoria kini enam mata di belakang pendahulu dengan Udinese merudum ke tangga kelima, juga dengan 16 mata.

Gonzalo Higuain sepatutnya membantu Napoli meraih tiga mata pada minit akhir menentang Atalanta di gelanggang lawan, namun penyerang Argentina itu kecewa apabila sepakan penaltinya diselamatkan Marco Sportiello. Napoli kekal di tangga ketujuh dan kini tujuh mata di belakang Juventus dan Roma.

Juventus gah tiga mata di depan Roma hujung minggu lalu selepas anak buah Rudi Garcia dipaksa seri tanpa jaringan oleh Sampdoria, namun mereka kecewa di Stadium Luigi Ferraris ketika penjaga gol Gianluigi Buffon melakukan penampilan ke-500 menyarung jersi Bianconeri.

Juve mensia-siakan beberapa peluang terutama apabila tolakan Angelo Ogbonna terkena palang gol dan kemudian penjaga gol tuan rumah, Matia Perin menyelamatkan percubaan bahaya Alvaro Morata selepas dia menggantikan rakan senegara dari Sepanyol, Fernando Llorente pada minit ke-65.

Perlawanan itu seolah-olah berakhir seri hinggalah Antonini mengejutkan anak buah Massimiliano Allegri dengan menampan masuk hantaran lintang dari kiri melepasi Buffon selepas dia tidak dikawal di depan pintu gol.

“Anda tidak boleh melepaskan gol pada 30 saat terakhir seperti ini,” jelas Allegri. “Kami patut pulang sekurang-kurangnya seri. Tapi, kami akan belajar daripada keputusan ini.”

Ia kekalahan pertama Juve dalam liga pada masa kecederaan sejak kalah kepada Roma pada 2010 dan memberikan rangsangan buat anak buah Garcia ketika mereka mendominasi Cesena di Stadio Olimpico.

Jurulatih Genoa Gian Piero Gasperini berkata: “Ia salah satu daripada hari terindah dalam karier saya.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 5:05 AM