PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.
PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.
Oleh Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata kerajaan negeri perlu membantu pasukan kelab bola sepak negeri dan pasukan bawahan lain dari segi kewangan.

Beliau mengakui, pasukan utama dan pasukan bawahan lain sama ada di Sabah atau di tempat lain pasti berdepan kekangan jika tiada bantuan yang sewajarnya daripada mana-mana pihak.

Katanya, sokongan kewangan kerajaan negeri diperlukan untuk memastikan program pembangunan bola sepak negeri berjalan lancar seperti yang dirancang.

"Di mana sekalipun, saya percaya sudah tentu mempunyai beberapa kekangan dan kalau kita lihat senario bola sepak kita, sudah tentu kita ingin kerajaan negeri terutamanya membantu dari segi kewangan bukan saja kepada pasukan kelab atau pasukan utama tetapi juga kepada pasukan bawahan.

"Ini kerana projek pembangunan (bola sepak) amat penting dan dari situ kita harus mendapatkan sumber kewangan yang amat tinggi.

"Saya percaya hanya kerajaan negeri dan juga penaja syarikat besar yang mampu menaja pasukan kelab mahupun pasukan remaja agar dapat menjalankan tugas mereka dengan lebih baik," katanya kepada media, di sini, semalam.

Kim Swee berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan pasukan bertanding dalam Liga Super pada musim depan berkurangan disebabkan masalah kewangan dihadapi kelab seperti kebimbangan disuarakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum ini.

Ia berikutan khabar angin mengenai isu kewangan yang dikatakan mula melanda beberapa pasukan dalam Liga Super musim ini, termasuk yang terbaharu Sabah FC.

Sebelum ini, terdapat desas-desus mengatakan pemain Sabah FC berdepan masalah tunggakan gaji berikutan pendedahan mengenai isu itu di TikTok oleh individu yang mengaku pemain bawah 23 (B23) skuad Sang Badak itu.

Difahamkan, pembayaran gaji pemain dan pegawai pasukan tertunggak beberapa bulan, menyebabkan ada antara mereka yang sudah tidak tahan dan tampil mendesak agar masalah itu diselesaikan segera.

Menurut sumber, masalah tunggakan gaji yang dihadapi Sabah FC itu berpunca daripada perubahan pucuk pimpinan pasukan dan akan diselesaikan dalam masa terdekat apabila isu itu dibincangkan nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 10:35 AM