KEDAH kini berdepan masalah kewangan. FOTO Bernama
KEDAH kini berdepan masalah kewangan. FOTO Bernama
Izzali Ismail


KELAB Penyokong Bolasepak Kedah Darul Aman (KEPDA) berharap sokongan penajaan baharu daripada sektor korporat mampu membantu meringankan beban dihadapi Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang kini berdepan masalah kewangan.

Presiden KEPDA Nor Hasmadi Hamzah berkata, selain sokongan daripada kerajaan negeri, penajaan sektor korporat yang besar dilihat sebagai pilihan terbaik membantu Kedah keluar daripada kemelut tunggakan gaji sedia ada.

"Kami sangat berharap pelbagai sektor korporat dapat tampil memainkan peranan tambahan dalam menyuntik penajaan bagi menghidupkan industri bola sepak di Kedah ketika ini.

"Kami sedar KFA menghadapi kekangan kewangan, lebih-lebih lagi sejak Liga Malaysia terhenti akibat pandemik Covid-19 dan ia amat merisaukan semua pihak apabila melibatkan isu gaji tertunggak yang masih berlarutan.

"Justeru kami tidak rela industri bola sepak Kedah menjadi malap dan kami menyeru badan korporat agar membantu Kedah keluar daripada kekangan kewangan dengan lebih cepat.

Hasmadi juga berkata, dengan pertukaran kepimpinan di Kedah baru-baru ini, pihaknya amat mengalu-alukan perancangan terbaik oleh pengurusan tertinggi negeri dalam memajukan industri bola sepak di Kedah.

"Bola sepak Kedah harus berdiri teguh walau apa pun halangan dan rintangan kerana ini sajalah sukan tumpuan terbesar rakyat Kedah dan juga satu satunya hiburan rakyat di negeri ini. katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 5:31 PM