NAFUZI juga berkata motivasi skuadnya tetap kukuh apabila mempamerkan komitmen yang baik di atas padang. FOTO IZZALI ISMAIL
NAFUZI juga berkata motivasi skuadnya tetap kukuh apabila mempamerkan komitmen yang baik di atas padang. FOTO IZZALI ISMAIL
Izzali Ismail


Alor Setar: Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Nafuzi Zain mahu pemainnya meneruskan rentak kemenangan yang dicapai menuju baki tiga perlawanan Liga Super musim ini selepas mengutip mata penuh menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 3-0 pada saingan Liga Super ke-23 di Stadium Darul Aman petang semalam.

Bagi pengendali Sang Kenari itu, kemenangan yang dilakar pemainnya melalui jaringan Manuel Ott, Amirbek Juraboev dan Ifedayo Olusegun itu cukup bermakna buat dirinya yang turut menyambut hari kelahirannya semalam sekali gus membuka laluan terbaik buat pasukan memburu kedudukan tangga kedua liga pada musim ini.

"Saya cukup menghargai kemenangan ini apabila pemain saya juga menghadiahkan kemenangan sempena hari ulang tahun kelahiran saya semalam dan ini cukup bermakna buat saya.

"Kedudukan yang kita capai pada saingan liga setakat ini adalah kedudukan yang terbaik untuk kami mengejar mata bagi memburu kedudukan tempat kedua liga yang secara langsung melayakkan diri ke saingan peringkat Asia pada musim depan.

"Berbaki tiga lagi perlawanan dan dua mata ketinggalan berbanding Selangor di tangga kedua kini saya yakin pemain akan bersedia untuk bertemu Kelantan FC selepas ini sebelum menentang Selangor FC dan yang terakhir Sabah FC," katanya pada sidang media semalam.

Nafuzi juga berkata motivasi skuadnya tetap kukuh apabila mempamerkan komitmen yang baik di atas padang meskipun pihak pengurusan Sang Kenari memaklumkan sedang berdepan isu tunggakan gaji yang melanda pasukan pada ketika ini.

"Dari segi komitmen, pemain tetap memberi usaha mereka 100 peratus membabitkan sesi semasa latihan dan juga semua aktiviti dan pada aksi ini mereka tidak menunjukkan apa apa kesan kerana pemain juga mahukan sasaran mereka untuk pasukan mencapai kedudukan nombor dua musim ini.

"Walaupun mengalami keadaan sukar, tetapi mereka menghadapinya dengan baik dengan motivasi mereka memburu kemenangan dikekalkan dan saya amat berterima kasih kepada pemain saya kerana sejak permasalahan ini timbul mereka memahami situasi ini.

"Satu moral pasukan yang baik adalah kita senang bersama dan kita susah bersama, kerana apabila kita bersama setiap hari, kita secara bersama akan berkongsi masalah yang mahu diselesaikan," katanya.

Nafuzi turut menyeru pemainnya agar terus meningkatkan lagi semangat juang yang tinggi seperti yang sedang mereka pamerkan dalam menghadapi baki tiga aksi yang sengit berdepan Kelantan FC pada 24 November, Selangor FC (2 Disember) dan Sabah FC (17 Disember).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 2:17 PM