MUDRYK (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika seri 2-2 dengan Arsenal, Sabtu lalu. FOTO AFP
MUDRYK (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika seri 2-2 dengan Arsenal, Sabtu lalu. FOTO AFP
Agensi

London: Mauricio Pochettino memberi amaran kepada seorang pemain bintangnya di Chelsea, Mykhailo Mudryk sambil menegaskan pemain itu perlu meningkat untuk kekal dalam kesebelasan utama di Stamford Bridge.

Chelsea mensia-siakan pendahuluan dua gol apabila seri 2-2 dengan Arsenal pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Sabtu lalu, apabila jaringan babak kedua oleh Declan Rice dan Leandro Trossard memastikan mata penting buat the Gunners yang bersaing memburu kejuaraan liga.

Jika menang perlawanan itu, Chelsea yang bergelut dengan prestasi tidak menentu hanya ketinggalan empat mata berbanding empat pasukan terbaik dan melonjak ke tangga kesembilan liga, apabila West Ham tewas 1-4 di Aston Villa, awal pagi tadi.

Tetapi, walaupun menjaringkan gol kedua buat Chelsea, Mudryk dikeluarkan di pertengahan babak kedua untuk memberi laluan kepada Nicolas Jackson dan selepas perlawanan, Pochettino menggesa pemain itu meningkatkan kemampuannya bagi membantu jentera serangan pasukan.

Mudryk bergelut untuk menyerlah di Stamford Bridge sejak perpindahan bernilai £88 juta (RM513.45 juta) ke kelab barat London itu dan Pochettino mahu bintang Ukraine untuk menghasilkan lebih lagi untuk pasukannya.

Ketika ditanya sama ada Mudryk dikeluarkan kerana kehabisan tenaga, Pochettino memberi jawapan mudah pada sidang media selepas perlawanan.

"Tidak. Saya fikir dia bermain dengan baik, tetapi dia perlu meningkat. Bagi saya, dia belum mencapai prestasi terbaiknya," kata pengendali dari Argentina itu.

"Saya fikir kami perlu membuat perubahan untuk menambah tekanan terhadap lawan dengan Jackson bermain di depan.

"Dalam situasi itu, kami mencipta banyak peluang dan perlawanan itu agak hampir dengan keputusan 3-0 berbanding 2-1."

Dia merasakan keputusan seri itu bermakna Chelsea melepaskan dua mata, berbanding satu mata diraih mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 8:46 PM