Reaksi pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino dan pengurus Manchester City, Pep Guardiola selepas perlawanan. -FOTO Reuters
Reaksi pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino dan pengurus Manchester City, Pep Guardiola selepas perlawanan. -FOTO Reuters
AFP

London: Pep Guardiola dan Mauricio Pochettino memberi tabik hormat kepada "liga terbaik dunia" selepas penalti terakhir Cole Palmer memberikan keputusan dramatik menakjubkan yang menyaksikan Chelsea seri 4-4 menentang Manchester City semalam.

Chelsea dan City menyajikan satu daripada pertemuan yang akan diingati dalam era Liga Perdana apabila pertembungan itu menyaksikan 'plot twist' yang begitu banyak di Stamford Bridge.

Dalam pertemuan yang menyaksikan mengapa Liga Perdana Inggeris (EPL) menawan berjuta-juta peminat di seluruh dunia, City mensia-siakan pendahuluan tiga kali dan The Blues mensia-siakan kelebihan sekali, memberi peluang kepada penyerang Chelsea, Palmer mengejutkan bekas kelabnya.

Biarpun pasukannya melepaskan peluang untuk mendahului tiga mata di puncak, Guardiola tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya dalam aksi klasik itu ketika City membuka kelebihan satu mata ke atas Liverpool di tangga kedua.

"Adakah anda seronok? Ia adalah iklan yang bagus dan permainan yang menghiburkan untuk Liga Perdana," kata bos City itu.

"Ia adalah perlawanan sengit. Pada masa ini saya fikir ia adalah keputusan yang adil. Kedua-dua pasukan bermain untuk menang.

"Kami tidak membuat keputusan yang baik selepas kedudukan 4-3. Ia adalah kali pertama bagi saya di Stamford Bridge selepas beberapa tahun kami mencipta banyak peluang, tetapi mereka juga sama."

Pengurus Chelsea, Pochettino bersetuju dengan penilaian Guardiola mengenai lapan gol yang dihasilkan itu.

"Kami mahu menang dan mahu menjadi protagonis dalam permainan. Perlawanan seperti hari ini menunjukkan mengapa Liga Perdana adalah yang terbaik di dunia," katanya.

Ditanya sama ada dia berasa kesal dengan pertahanan City, Guardiola berkata: "Jika anda fikir kami akan datang ke sini dan menang 7-0, anda silap. Kami mengejar rapat, mungkin kami tidak berjaya dengan sempurna dalam beberapa percubaan ketika tetapi Chelsea juga tidak rugi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2023 @ 7:47 AM