PEMAIN Juventus meraikan kemenangan di San Siro, Milan. FOTO Reuters
PEMAIN Juventus meraikan kemenangan di San Siro, Milan. FOTO Reuters
AFP

Milan: Jaringan Manuel Locatelli membolehkan Juventus ketinggalan hanya dua mata di belakang pendahulu Serie A, Inter Milan selepas menang 1-0 ke atas AC Milan yang beraksi 10 pemain awal pagi tadi.

Skuad Massimiliano Allegri meraih tiga mata berharga di San Siro hasil rembatan jarak jauh Locatelli minit ke-62, tujuh tahun selepas menjaringkan gol kemenangan Milan ketika menentang Juve.

Juve yang seperti Milan beraksi tanpa beberapa pemain utama kekal di tangga ketiga tetapi merapatkan jurang dengan Inter dan satu mata di belakang Milan yang menyerahkan kedudukan pendahulu kepada pencabar setempat mereka itu.

Locatelli yang beraksi untuk Milan ketika remaja mengalirkan air mata selepas tamat perlawanan dan rembatannya mungkin tidak menerjah jaring jika tidak terkena pertahanan Rade Krunic.

"Sangat istimewa beraksi di sini," kata Locatelli kepada DAZN.

"Kehidupan membawa saya ke jalan lain dan saya beraksi dengan pasukan sepatutnya saya wakili dan saya sangat emosi selepas jaringkan gol."

Milan pula selepas kekalahan mengejut itu akan berkunjung ke PSG pada Khamis sebelum menentang juara Napoli di Naples hujung minggu ini.

"Kami beraksi baik dengan 11 pemain tetapi dengan 10 pemain kami perlu lebih berwaspada untuk mendapat keputusan kerana kami tidaklah teruk walaupun beraksi kurang pemain," kata jurulatih Milan Stefano Pioli.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 8:38 AM