LOCATELLI (kanan) dilihat membaling semula pembalut ke arah Barella. FOTO Agensi
LOCATELLI (kanan) dilihat membaling semula pembalut ke arah Barella. FOTO Agensi
Agensi

Rom: Penonton Euro 2020 geli hati melihat reaksi Manuel Locatelli terhadap Nicolo Barella yang membaling pembalut luka kepadanya.

Pemain tengah Sassuolo itu dilihat kurang senang dengan tindakan Barella dan pantas membaling semula pembalut berkenaan ke arah muka bintang Inter Milan itu.

Dengan Itali sudah pun melangkah ke pusingan 16 terakhir, pengurus Roberto Mancini mengambil keputusan untuk merehatkan Locatelli dan Barella ketika menentang Wales.

Keputusan bekas pengurus Manchester City itu dilihat tepat apabila Itali mencatat kemenangan 1-0 di Rom meskipun Locatelli dilihat kurang senang di bangku simpanan.

Pada minit ke-69 permainan, Barella dilihat membaling pembalut berkenaan ke arah Locatelli.

Pemain tengah itu yang dikaitkan dengan perpindahan ke Juventus serta Arsenal, jelas tidak gembira dan kembali membaling semula pembalut itu ke arah Barella.

Barella masih mampu tersenyum namun Locatelli kekal dengan wajah bengis.

Penonton yang menyaksikan insiden itu secara bergurau menulis di Twitter: "Locatelli mendapati Juve tidak mengemukakan tawaran rasmi dan memilih untuk ke Arsenal."

Locatelli, 23, dilihat pemain yang sedang meningkat naik pada kempen kali ini apabila menjaringkan dua gol ketika Itali menewaskan Switzerland 3-0.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 10:07 AM