POLIS akan tempatkan anggota berpakaian preman dalam kalangan penyokong kedua-dua pasukan Perak FC dan JDT. FOTO Perak Football Club
POLIS akan tempatkan anggota berpakaian preman dalam kalangan penyokong kedua-dua pasukan Perak FC dan JDT. FOTO Perak Football Club
BERNAMA

Ipoh: Tindakan tegas akan diambil terhadap penyokong yang mencetuskan provokasi atau pergaduhan sepanjang berlangsungnya saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Perak di sini, esok.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata, tiada diplomasi kali ini dan mana-mana penyokong yang ditangkap atas kesalahan itu akan didakwa di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Kita harap perlawanan berlangsung aman dan penyokong kedua-dua pasukan perlu terima apa jua keputusan (perlawanan) dengan hati terbuka dan berdasarkan semangat kesukanan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata kawalan polis tertumpu di dalam dan luar pekarangan stadium selain pemeriksaan badan serta beg penonton akan dilakukan bagi memastikan tiada sebarang alatan atau barangan terlarang dibawa masuk.

"Polis juga akan menempatkan anggota berpakaian preman dalam kalangan penyokong kedua-dua pasukan untuk memastikan tiada sebarang insiden buruk daripada berlaku," katanya.

Yahaya menasihatkan para penyokong supaya hadir lebih awal ke stadium bagi mengelak sebarang kesulitan termasuk kesesakan lalu lintas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 7:46 PM