COOLS menjaringkan gol pertama pasukan Malaysia pada perlawanan Pestabola Merdeka 2023, Malaysia menentang India di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. -FOTO Aizuddin Saad
COOLS menjaringkan gol pertama pasukan Malaysia pada perlawanan Pestabola Merdeka 2023, Malaysia menentang India di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. -FOTO Aizuddin Saad
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya beraksi cemerlang pada separuh masa pertama apabila berjaya mendahului perlawanan 2-1 menentang India pada aksi Pestabola Merdeka yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), sebentar tadi.

Skuad bimbingan Igor Stimac terlebih dahulu menguji gawang tuan rumah seawal minit pertama namun sepakan terkena palang sekali gus memberi kelegaan kepada pasukan negara.

Malaysia tidak perlu menunggu lama untuk berada di depan apabila kapten Harimau Malaya Dion Cools menyumbat gol pertama perlawanan pada minit ke 8 untuk kedudukan Malaysia 1-0 India.

Kegembiraan skuad bimbingan Kim Pan Gon tidak lama apabila kealpaan pertahanan segera dihukum India apabila menyamakan kedudukan menerusi Mahesh Singh selang empat minit kemudian untuk kedudukan Malaysia 1-1.

Gol penyamaan itu seolah memberi amaran untuk barisan pemain negara memperkemaskan lagi setiap posisi untuk menyekat kemaraan pasukan yang berada di ranking ke-102 dunia itu.

SNBJ kembali bergema pada minit ke 17 apabila Malaysia dihadiahkan sepakan penalti selepas Darren Lok dikasari pertahanan lawan sebelum disempurnakan Ariff Aiman Hanapi untuk kedudukan Malaysia 2- 1 India.

Tonggak Harimau Malaya, Faisal Halim terus menambah derita India apabila menyumbat gol ketiga Malaysia ketika perlawanan separuh masa pertama berbaki tiga minit sebelum tamat.

Pasukan Harimau Malaya sebenarnya berpeluang untuk menambah sekurang-kurangnya dua gol lagi menerusi Ariff Aiman dan Faisal namun sepakan mereka jauh tersasar sekali gus menyaksikan babak pertama berakhir dengan Malaysia 3-1 India.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 9:57 PM