HOJLUND menjaringkan 10 gol dalam 34 perlawanan untuk Atalanta, musim lalu. FOTO AFP
HOJLUND menjaringkan 10 gol dalam 34 perlawanan untuk Atalanta, musim lalu. FOTO AFP
Agensi

London: Manchester United berdepan halangan untuk mendapatkan penyerang baharu apabila enggan membayar lebih £60 juta (RM351.65 juta) kepada Rasmus Hojlund.

Sebaliknya, Atalanta meletakkan harga £86 juta (RM504 juta) bagi penyerang Denmark berusia 20 tahun yang menjaringkan 10 gol dalam 34 perlawanan untuk kelab Serie A itu, musim lalu.

Penyerang muda itu dikatakan terdesak untuk berpindah ke Old Trafford apabila butiran kontrak sudah dipersetujui bagi pihaknya.

United bimbang Atalanta mengambil kesempatan berikutan mereka terdesak untuk mendapatkan penyerang baharu memandangkan musim depan semakin hampir.

Tetapi, Atalanta bertegas dengan harga itu memandangkan kontrak penyerang berkenaan masih berbaki empat tahun.

Bagaimanapun, United mungkin boleh beralih kepada Randal Kolo Muani dari kelab Jerman, Eintracht Frankfurt.

Penyerang Perancis berusia 24 tahun itu menjaringkan 23 gol dalam 45 perlawanan untuk kelab Bundesliga itu, musim lalu.

Penyerang sedia ada United, Anthony Martial kembali menjalani latihan selepas kecederaan hamstring pada hujung musim lalu, tetapi pengurus, Erik Ten Hag tidak yakin untuk terus berharap kepada penyerang Perancis yang kerap cedera itu.

Pada perlawanan jelajah pramusim pertama di Amerika Syarikat (AS), Ten hag mencuba Jadon Sancho sebagai penyerang tunggal dan dia menjaringkan gol ketika United menang 2-0 ke atas Arsenal.

Pilihan lain adalah menggunakan penjaring terbanyak musim lalu, Marcus Rashford sebagai penyerang utama, tetapi dia lebih gemar menggunakan pemain itu di sebelah kiri.

Penyerang sasaran utama United pada musim panas ini, Harry Kane terpaksa diketepikan kerana penyerang itu dikatakan menuntut bayaran £577,000 (RM3.38 juta) seminggu, sekali gus menjejaskan struktur gaji United.

Pemilik Tottenham, Joe Lewis mahu menjual Kane kerana tidak mahu melepaskannya secara percuma di akhir kontraknya musim depan.

Usaha meraih dana menjadi masalah utama United kerana hanya memiliki baki £13 juta (RM76.19 juta) daripada keseluruhan £120 juta (RM703.3 juta) yang ditetapkan bagi musim panas ini kerana tuntutan Fair Play Kewangan (FFP).

Mereka sebelum ini berbelanja besar untuk mendapatkan pemain tengah, Mason Mount dan penjaga gol baharu, Andre Onana.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 11:18 AM