NURUL Atikah bertugas sebagai pengadil MPFL sejak dua tahun lalu. FOTO MOHD RAFI MAMAT
NURUL Atikah bertugas sebagai pengadil MPFL sejak dua tahun lalu. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Dikerumuni dan dimarah pemain yang membantah keputusan dibuat antara asam garam pengadil dalam sukan bola sepak serta futsal.

Perkara sama dilalui pengadil wanita, Nurul Atikah Janah@Zainal yang kini diberi tanggungjawab mengadili perlawanan Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) sejak dua tahun lalu.

Menurut Nurul Atikah, tugas pengadil lelaki dan wanita adalah sama dengan cabaran dihadapi sepanjang 40 minit perlawanan perlu dihadapi secara profesional mengikut peraturan dan undang-undang futsal.

Katanya, sebagai pengadil dia perlu tegas membuat setiap keputusan dan tidak terpengaruh dengan desakan pemain serta pihak lain.

"Saya bermula sebagai pemain bola sepak dan futsal mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan berjinak sebagai pengadil kebangsaan tiga tahun lalu, seterusnya ditugaskan untuk mengadili futsal liga kebangsaan selain pelbagai kejohanan lain.

"Selepas mengikuti kursus pengadil dianjurkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), saya mula tertarik untuk menerima tawaran sebagai pengadil dan timbul minat untuk terus terbabit sebagai pengadil.

"Di peringkat awal timbul perasaan takut apabila dimarah oleh pemain yang tidak berpuas hati dengan keputusan dibuat, namun kini rasa takut tidak lagi berlaku.

"Dalam keadaan panas itu saya perlu bijak mengawal emosi serta tidak mudah melatah," katanya.

Dia yang kini bertugas dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkata, setiap kali mengadili perlawanan, dia perlu menanam sifat hormat pada setiap pemain kerana dengan cara itu, pemain turut akan hormat kepadanya.

Menurutnya, antara cabaran sebagai pengadil wanita ialah penerimaan lelaki terhadap kaum hawa, ramai yang memandang rendah dan memperkecilkan kemampuan dengan menganggap pengadil wanita masih berada pada tahap rendah.

"Perkara ini tidak berlaku di luar negara dan kini terdapat tiga pengadil wanita terbabit mengadili liga futsal kebangsaan.

"Tidak ada masalah dihadapi setiap kali tanggungjawab itu diberikan. Kami bergandingan dengan pengadil lelaki dan saya harap peminat sukan tanah air tidak meletakkan pengadil wanita di kelas kedua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 4:29 PM