MESYUARAT yang berlangsung hari ini. FOTO L MANIMARAN
MESYUARAT yang berlangsung hari ini. FOTO L MANIMARAN
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Jawatankuasa bertindak yang ditubuhkan bagi menyelesaikan kemelut dihadapi Persatuan Bolasepak Perak (Pafa) perlu berhati-hati dalam keputusannya dengan menilai tiga isu utama sebelum membuat sebarang keputusan susulan rayuan pembatalan badan induk bola sepak Perak itu.

Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, tiga isu berkenaan adalah mengenai status kelayakan mengundi ketika Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) atau kongres sama ada bagi 17, atau empat ahli gabungan Pafa, selain mengambil kira permohonan semakan kehakiman yang dibuat di Mahkamah Rayuan berhubung isu kelayakan itu.

Beliau berkata, pertikaian antaranya timbul apabila keahlian 17 ahli gabungan Pafa dikatakan belum dibatalkan oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS) serta masih berdaftar dan layak mengundi dalam AGM dan ia masih wujud walaupun Pafa sudah dibubarkan namun perlembagaan Pafa sudah tidak mengiktiraf 17 gabungan itu sebagai ahlinya.

"Kita akan tengok dan kaji balik sebab kita pun akan dapatkan nasihat daripada penasihat undang-undang kementerian (Kementerian Belia dan Sukan), serta mengenai setakat mana kita boleh bertindak kerana takut nanti jika kita silap akan memalukan kita juga," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan sesi taklimat PJS dan jawatankuasa ad hoc terbabit bersama ahli-ahli gabungan Pafa di Pejabat Belia dan Sukan Perak, di sini.

Sesi taklimat itu dihadiri setiap dari wakil 17 ahli gabungan Pafa yang sebelum ini dipecat, selain wakil empat ahli gabungan Pafa lainnya diketuai bekas Pemangku Presiden Pafa, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad serta bekas Naib Presiden III Pafa, Datuk Seri G Irudianathan.

Kata Abdul Puhat, pihaknya hanya melihat terdapat kata dua jika kemelut pembatalan Pafa itu masih tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 12 bulan penubuhan jawatankuasa dipengerusikannya itu.

"Kita ada dua pilihan sama ada dia orang (gabungan 17 dan empat ahli gabungan Pafa) hendak ikut atau tak ikut (dengan keputusan jawatankuasa ad hoc). Jika masih bergaduh lagi, tak nak ikut maka batal (bubar) teruslah Pafa macam keputusan dari menteri sebelum ini," katanya.

Pada 7 Mac tahun lalu, Pafa yang sudah berusia lebih 100 tahun digantung selama enam bulan oleh PJS berikutan kemelut melanda badan induk bola sepak itu, sebelum dilapor diberi penangguhan untuk pembatalan dan pembubarannya pada Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 11:59 PM