YADZAN (tengah) dan Irudianathan (kanan) ketika sidang media  di Glenmarie Golf & Country Club, pagi tadi. FOTO Sadiq Sani
YADZAN (tengah) dan Irudianathan (kanan) ketika sidang media di Glenmarie Golf & Country Club, pagi tadi. FOTO Sadiq Sani
Firdaus Hashim


Shah Alam: Adakah AGM (Mesyuarat Agung Tahunan) pada 21 Disember ini sah atau halal sedangkan kes berkenaan di peringkat Mahkamah Rayuan?

Itu persoalan yang timbul selepas Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Muhammad Yadzan Mohammad mempertikaikan tindakan Jawatankuasa Bertindak mengadakan AGM ketika kes babitkan badan induk itu sudah diheret ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Jelas Yadzan, AGM yang mahu dilaksanakan oleh Jawatankuasa Khas itu seolah sengaja mencabar arahan mahkamah yang memaklumkan keputusan berhubung pendaftaran PAFA hanya akan diputuskan pada 15 Julai 2024, sekaligus pemilihan AGM pada hujung bulan ini perlu dihentikan bagi menghormati proses kehakiman.

"Kita menfailkan isu pendaftaran PAFA ke Mahkamah Rayuan pada 3 Julai 2023 lalu dan ia sudah diterima oleh pihak Mahkamah Rayuan. Perkara ini masih dalam pertikaian dan dalam bidang kuasa Mahkamah Rayuan.

"Keputusan berkenaan isu ini akan didengar pada Julai tahun depan, jadi sepatutnya AGM itu tidak boleh dilakukan kerana ia masih dalam proses mahkamah. Mereka (Jawatankuasa Khas) seolah tidak menghormati mahkamah dan mahu membelakangkan keputusan mahkamah.

"Kita reda jika keputusan mahkamah (Mahkamah Rayuan) tidak memihak kita, tetapi mereka haruslah menunggu hingga ia diputuskan nanti. Kita ikut perlembagaan, ikut akta kami selesai dan harap dapat diselesaikan di mahkamah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sebelum ini, PAFA digantung selama enam bulan oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS) berikutan kemelut yang melanda persatuan berkenaan selepas wujud pertelagahan antara dua kumpulan yang mendakwa masing-masing sebagai jawatankuasa sah badan induk itu.

Bagaimanapun, satu Jawatankuasa Bertindak ditubuhkan bagi menangguhkan pembatalan PAFA oleh PJS berikutan kemelut dalaman yang dialami persatuan itu.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAFA merangkap Setiausaha Kehormat, Datuk Seri G Irudianathan berkata, kewujudan Jawatankuasa Bertindak itu juga boleh dipertikaikan kerana Menteri Belia dan Sukan tidak dimaklumkan status sebenar isu dalaman PAFA.

"Artikel 80 menyatakan mana-mana ahli gabungan tidak boleh menyertai persatuan lain dan perlu mendapatkan kelulusan daripada Presiden terlebih dulu.

"Manakala Artikel 16 (4) pula mensyaratkan untuk ahlinya membayar yuran tahunan sebelum 31 Mac setiap tahun, tetapi mereka gagal berbuat demikian pada tahun 2020 sekali gus keahlian mereka dibatalkan," kata Irudianathan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 5:59 PM