PAFA tunggu kelulusan Hannah.
PAFA tunggu kelulusan Hannah.
Muhamad Lokman Khairi


Parit: Penyelesaian kemelut status Persatuan Bolasepak Perak (Pafa) kini bergantung kepada penilaian dan keputusan Pesuruhjaya Sukan (PJS) terhadap laporan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) persatuan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah, berkata EGM yang bersidang pada 22 Disember lalu itu diuruskan oleh jawatankuasa ad hoc komuniti diketuai oleh pakar berkaitan sukan dan perlembagaan persatuan.

Menurutnya, laporan berkaitan pelaksanaan EGM berkenaan sudah dihantar kepada PJS untuk dipanjangkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagi tindakan yang sewajarnya.

"Besar harapan kita agar pelaksanaan EGM itu sah dan Jawatankuasa Eksekutif PAFA yang dilantik itu dapat melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan kepada mereka kerana PAFA seperti semua sedia maklum, sudah lama tidak berfungsi atas ketidakakuran kepada peraturan dan kehendak PJS itu sendiri.

"Maka, kita masih menanti laporan dan tindakan daripada PJS dan Pejabat Menteri KBS berkaitan status permohonan itu," katanya kepada pemberita pada Program Bersepadu Madani dan Pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Bota, di sini, hari ini.

Khairudin menjelaskan, jika Hannah Yeoh mengesahkan laporan EGM dan meluluskan pelantikan Jawatankuasa Eksekutif PAFA yang baharu, barulah badan induk bola sepak negeri itu boleh merancang pelaksanaan program pembangunan kejurulatihan dan kepengadilan bagi acara bola sepak dan futsal di Perak nanti.

Pada 7 Mac 2022, PAFA digantung selama enam bulan oleh PJS berikutan kemelut yang melanda persatuan berusia lebih 100 tahun itu berikutan wujud dua kumpulan yang mendakwa masing-masing sebagai jawatankuasa sah badan induk terbabit.

Bagaimanapun, pada Jun tahun lalu, Hannah Yeoh membenarkan penangguhan pembubaran PAFA dengan menubuhkan jawatankuasa ad hoc bagi menyelesaikan kemelut persatuan itu mengikut Subseksyen 21 (1) Akta Pembangunan Sukan 1997.

Dalam perkembangan lain, Khairudin memaklumkan bahawa Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bagi merealisasikan penganjuran sukan elektronik (e-Sukan) di masjid.

Menurutnya, usaha itu bertujuan sebagai menyahut titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menyarankan masjid di negeri itu menganjurkan aktiviti e-Sukan dalam usaha menarik lebih ramai golongan muda mengimarahkan masjid.

Menurutnya, pada masa sama kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan khusus bernilai RM500,000 untuk pembangunan e-Sukan dalam Belanjawan 2024.

"Kita tahu sukan elektronik ini merupakan salah satu budaya sekarang ini cukup popular dalam kalangan orang muda.

"Mungkin selepas ini pihak Jabatan Belia dan Sukan negeri atau MSN akan berbincang dengan JAIPk untuk kita memastikan bahawa titah tuanku itu dapat kita laksanakan dengan sebaik mungkin.

"Ini bagi memastikan supaya masjid menjadi salah satu tempat golongan remaja berkumpul selain daripada beramal ibadat dan menunaikan solat, mereka boleh mengadakan aktiviti kegemaran dan kesukaan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 10:14 PM