IBRAHIM Mohd Yusof. FOTO Nadim Bokhari
IBRAHIM Mohd Yusof. FOTO Nadim Bokhari
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Terdapat ketidakaturan dalam proses pemilihan kepimpinan yang dilakukan sama ada oleh Jawatankuasa Persatuan Bolasepak Perak (Pafa) mahupun Jawatankuasa Ahli-Ahli Gabungan Pafa sekali gus sehingga kini status sebenar siapakah individu yang layak memimpin badan induk itu masih lagi tergantung.

Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof berkata, pihaknya bakal mengadakan pertemuan dengan kedua-dua pihak seawal-awalnya Mac ini bagi memberi gambaran sebenar situasi yang berlaku.

Jelasnya, selepas pertemuan itu kemungkinan akan ada satu keputusan konkrit dan jawantakuasa mana yang bakal memimpin Pafa.

"Kita dah teliti dakwaan daripada kedua-dua belah pihak dan kita masih belum membuat sebarang pengesahan ke atas dua-dua belah pihak itu, sama ada yang salah atau betul.

"Sebab berdasarkan laporan yang diterima, ada beberapa perkara tidak teratur dalam proses (pemilihan) dan tidak mengikut perlembagaan sedia ada.

"Kita akan mengadakan perjumpaan dengan semua pihak sama ada dari pihak Jawatankuasa Pafa dan pihak jawatankuasa satu lagi. Insya-Allah, pada awal bulan Mac nanti kita akan berikan rumusan apa yang perlu dilakukan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Semalam,, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui kemelut kepimpinan membabitkan Pafa bukan di bawah tanggungjawabnya sebaliknya ia di bawah bidang kuasa PJS.

Krisis kepimpinan Pafa bermula apabila dua kem menuntut untuk mengemudi persatuan itu membabitkan antara Pemangku Presiden Pafa, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad dan Presiden baharu, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 6:26 PM