MUHAMMAD  Yadzan  (dua kanan) menyerahkan pemilikan Perak FC kepada Khairul Mahmood di Pejabat PAFA, Ipoh petang tadi.
MUHAMMAD Yadzan (dua kanan) menyerahkan pemilikan Perak FC kepada Khairul Mahmood di Pejabat PAFA, Ipoh petang tadi.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengumumkan Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd sebagai pemilik baharu Perak FC selepas 100 peratus pegangan saham badan induk itu dijual kepada syarikat berkenaan.

Pemangku Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad berkata keputusan itu yang berkuat kuasa hari ini, diambil selepas melihat kesungguhan syarikat berkenaan bagi proses pengambilalihan itu.

Tanpa mendedahkan nilai pengambilalihan berkenaan, katanya, maklumat terperinci mengenai halatuju termasuk penstrukturan semula dan penjenamaan semula kelab akan diberitahu dalam tempoh satu minggu.

"Berkuatkuasa hari ini, segala urusan Perak FC akan diambil alih oleh PAFA iaitu sehingga segala proses selesai. Mereka (IMC) juga akan berbincang mengenai pemain sedia ada, selain melantik ketua pegawai esksekutif (CEO) dalam masa terdekat.

"IMC kebanyakannya terdiri daripada gabungan anak-anak muda. Kita (PAFA) tak boleh paksa IMC selesaikan semua (kemelut Perak FC sedia ada), tetapi kita bersama-sama akan cari satu formula, termasuk berjumpa dengan pemain (sedia ada)," katanya pada sidang media di Pejabat PAFA, di sini, petang tadi. Turut hadir Pengerusi IMC, Khairul Mahmood.

Muhammad Yadzan berkata Perak FC menjadi kelab kelima yang melakukan penjualan 100 peratus pegangan syarikat secara sekali gus selepas Sri Pahang FC, PJ City FC, Johor Darul Ta'zim (JDT), dan Kelantan FC.

Katanya, pengambil alihan terbabit sekali gus bermaksud pengurusan termasuk ahli lembaga pengarah Perak FC sebelumnya terlucut jawatan dan pegangan.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Yadzan berkata 11 ahli gabungan PAFA yang merancang mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) dalam masa terdekat, digugurkan keahlian daripada persatuan itu secara serta merta.

Katanya, tindakan memecat ahli gabungan itu diambil berikutan perlanggaran Artikel 80 Perlembagaan PAFA mengenai keahlian yang menyatakan tiada ahli gabungan boleh menjadi ahli dua persatuan memandangkan sebelum ini, 12 daripada 18 ahli gabungan PAFA mendesak mengadakan kongres luar biasa.

12 ahli gabungan itu adalah Persatuan Bola Sepak (PB) Perak Tengah, Tapah, Kampar, Gerik, Lenggong, Hulu Perak, Kampung Gajah, Ipoh, Larut Matang & Selama, Hilir Perak, Kerian, dan PB Melayu Perak.

PB Hilir Perak bagaimanapun tidak menjadi ahli gabungan PB Melayu Perak, sekali gus tidak dipecat.

Justeru kini PAFA hanya mempunyai tujuh ahli gabungan iaitu Majlis India Perak, PB Teluk Intan, Bagan Datuk, Pengkalan Hulu, Tanjung Malim, Kuala Kangsar dan Batu Gajah.

"Mana boleh dalam satu kapal ada dua nakhoda. Justeru, hari ini kepada sesiapa yang hantar surat bantahan supaya buat EGM... (saksikanlah). Kita akan buat AGM (mesyuarat agung tahunan) selepas ini, untuk kita susun tadbir semula tanpa ada gangguan yang boleh menyebabkan perkara tidak baik berlaku.

"AGM akan dibuat membabitkan tujuh gabungan yang 'tersisia' (dalam PAFA)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 10:20 PM