KHAIRUDIN pada program Santai Portluck Sambil 'Healing' Tepi Sungai di Dataran Nordin@Sungai Perak, di sini, hari ini. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI
KHAIRUDIN pada program Santai Portluck Sambil 'Healing' Tepi Sungai di Dataran Nordin@Sungai Perak, di sini, hari ini. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI
Muhamad Lokman Khairi


Parit: Kerajaan negeri mengusulkan tiga cadangan tindakan kepada Persatuan Bolasepak Perak (Pafa) selepas status entiti itu diperakui semula oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah, berkata beliau mewakili kerajaan negeri menzahirkan rasa syukur dan gembira kerana Pesuruhjaya Sukan (PJS) bersama Menteri KBS, Hannah Yeoh memutuskan untuk mengekalkan pendaftaran persatuan berusia lebih 100 tahun itu, pada 9 Februari lalu.

Justeru itu, katanya, Jawatankuasa Eksekutif Pafa diharapkan akan mengadakan mesyuarat pertama dengan kadar segera bagi merangka perancangan untuk mengembalikan kegemilangan Perak sebagai pencabar utama dalam Liga Super.

"Sudah pasti apabila isu penggantungan ini selesai, diharapkan Pafa boleh melaksanakan tanggungjawab dan amanah sebaik mungkin dengan memberi tumpuan pertamanya kepada pembangunan bola sepak khususnya di peringkat akar umbi. Misalnya, perlu mewujudkan pertandingan, klinik dan bengkel.

"Selain itu, Pafa perlu merancang pembangunan kejurulatihan, kepengadilan serta pembangunan futsal.

"Ketiga, saya juga harap Pafa boleh bekerjasama sebaik mungkin dengan kelab Perak FC untuk berunding supaya pasukan negeri menjadi pencabar dalam Liga Super dan liga lain," katanya kepada pemberita pada program Santai Portluck Sambil 'Healing' Tepi Sungai di Dataran Nordin@Sungai Perak, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kemelut membabitkan pembatalan dan pembubaran persatuan bola sepak tertua itu dinoktahkan selepas KBS meluluskan permohonan Pafa untuk mengekalkan statusnya sebagai sebuah entiti.

Presidennya Pafa, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin dipetik berkata KBS pada Jumaat lalu memutuskan untuk mengekalkan pendaftaran Pafa di bawah Seksyen 21(1) Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) selepas pihaknya mengemukakan rayuan pada 2 Mei tahun lalu.

Pada 7 Mac 2022, PAFA digantung selama enam bulan berikutan isu kewujudan dua kumpulan yang mendakwa masing-masing sebagai jawatankuasa sah badan induk itu.

Kemelut itu mendapat campur tangan kerajaan negeri apabila Khairudin mengadakan pertemuan dengan Hannah Yeoh bagi mencari penyelesaian dan pertimbangan mengikut perlembagaan PJS agar Pafa tidak dibubar.

Pada Jun tahun lalu, Hannah Yeoh membenarkan penangguhan pembubaran Pafa dengan menubuhkan jawatankuasa bertindak menyelesaikan isu persatuan berkenaan mengikut Subseksyen 21 (1) Akta Pembangunan Sukan 1997.

Jawatankuasa yang diketuai bekas Presiden Pafa Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan telah mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 22 Disember lalu dan sekali lagi menyaksikan Mohd Azhar dipilih sebagai Presiden Pafa, manakala Datuk Sham Mat Sahat sebagai Timbalan Presiden.

Khairudin pada 18 Januari lalu memaklumkan kepada PJS laporan hasil keputusan EGM untuk dipanjangkan kepada Hannah Yeoh bagi tindakan sewajarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 5:02 PM