MESSI (kanan) jaring gol kedua Barcelona.
MESSI (kanan) jaring gol kedua Barcelona.

Paris: Barcelona, Bayern Munich, Paris Saint-Germain dan FC Porto layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara awal pagi semalam dengan Lionel Messi mencipta satu lagi rekod peribadi.

Messi menjaringkan kedua-dua gol, satu menerusi tandukan bagi gol keempatnya pada pertandingan itu ketika Barca menewaskan Ajax 2-0 bagi menyamai rekod 71 gol milik Raul pada kejohanan itu.

"Saya gembira buat Leo kerana kerja keras disumbangkannya kepada pasukan. Dia adalah pemain nombor satu, terbaik," kata pemain tengah Barca, Xavi Hernandez.

Bayern mara selepas menang 2-0 ke atas AS Roma di laman sendiri, PSG menundukkan APOEL 1-0 manakala Porto mengalahkan Athletic Bilbao 2-0 dengan penjaring gol mereka, Jackson Martinez dari Colombia dan Yacine Brahimi dari Algeria kedua-duanya mengumpul empat gol pada pertandingan musim ini.

Juara bertahan Real Madrid dan Borussia Dortmund mengesahkan tempat mereka ke pusingan kedua kelmarin.

Barcelona masih ketinggalan satu mata berbanding PSG di tangga kedua Kumpulan F namun jurulatih kelab Sepanyol itu, Luis Enrique lebih berasa lega kerana mereka menamatkan rentetan dua kekalahan dan turut mengelak tiga kekalahan berturut-turut di laman lawan dalam Liga Juara-Juara yang kali terakhir berlaku pada 2005.

"Sikap pemain dalam pasukan ini amat menakjubkan keran mereka menentang lawan yang memberikan segala-galanya," jelas Enrique.

Jurulatih PSG Laurent Blanc berpuas hati dengan pasukannya yang memastikan tempat ke pusingan kedua apabila Edinson Cavani menjaringkan gol terpantas pada pertandingan itu selepas hanya 57 saat, namun beliau lebih berminat untuk mengungguli kumpulan.

"Kini kami perlu cuba muncul juara kumpulan kerana ia memberikan anda kelebihan, mungkin kecil tapi tetap satu kelebihan," ujar Blanc ketika pasukannya masih perlu ke Nou Camp bertemu Barcelona bulan depan.

Kemenangan Bayern ke atas Roma yang meninggalkan Gervinho dan Francesco Totti di bangku simpanan nyata mengundang padah apabila pertahanan Austria, David Alaba, yang mencipta gol pertama buat Franck Ribery, mengalami kecederaan ligamen lutut serius.

"Kami pasti akan merasai kehilangannya," jelas jurulatih Bayern, Pep Guardiola.-AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 5:01 AM