HARIMAU Selatan ingin meningkatkan lagi prestasi dengan perlawanan pramusim berkualiti di Eropah mulai musim depan. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
HARIMAU Selatan ingin meningkatkan lagi prestasi dengan perlawanan pramusim berkualiti di Eropah mulai musim depan. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Gergasi bola sepak Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT) terus berusaha meningkatkan kualiti pasukan untuk kekal sebagai kuasa liga domestik apabila bakal mengasah 'taring' di Eropah pada pramusim tahun depan.

Perkara itu disahkan kelab terbabit di laman sosial rasmi Johor Southern Tigers (JST) dengan Portugal menjadi lokasi pusat latihan skuad Harimau Selatan itu.

Perkembangan itu dimaklumkan JDT susulan perbincangan antara pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan pemilik Portimonense FC, Constantin Teodoro Panagopoulos.

Menerusi pengumuman itu, skuad kendalian Esteban Solari itu bakal menggunakan kemudahan latihan di Portimonense FC selain beberapa aksi persahabatan bagi meningkatkan lagi kualiti barisan pemain menjelang musim baharu Liga Malaysia tahun depan.

"JDT akan menjalani pramusim 2024 dan 2025 di Sepanyol dan Portugal berikutan perbincangan menggalakkan antara Tunku Ismail dan Panagopoulos yang juga sahabat Baginda dan pemegang saham beberapa kelab di Eropah.

"JDT ditawarkan untuk menggunakan kemudahan fasiliti latihan terbaik di Portugal tanpa menanggung sebarang kos," kata kelab itu.

Jelas dalam kenyataan sama, pemilihan Eropah adalah selaras dengan perancangan untuk membina skuad lebih padu dan ampuh pada kempen musim depan termasuk saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

"Pasukan Harimau Selatan ingin meningkatkan lagi prestasi dengan perlawanan pramusim berkualiti di Eropah mulai musim depan.

"JDT sudah mengadakan pramusim di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sejak 2020, dan Eropah adalah langkah ke hadapan seterusnya," jelas kelab itu.

Untuk rekod, skuad Harimau Selatan terus mendominasi saingan tempatan apabila menjuarai Liga Super buat musim ke-10 berturut-turut musim ini selain muncul juara Piala FA dan Piala Sumbangsih, serta berjaya melayakkan diri ke final Piala Malaysia menentang Terengganu FC, Jumaat depan.

Begitupun, nasib kurang menyebelahi dalam kempen ACL apabila gagal melepasi peringkat kumpulan yang turut disertai kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai; kelab Jepun, Kawasaki Frontale dan kelab Thailand, BG Pathum United.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 3:38 PM