TIERNEY ketika sesi latihan skuad negara menjelang pertemuan dengan Timor Leste. FOTO FB FAM
TIERNEY ketika sesi latihan skuad negara menjelang pertemuan dengan Timor Leste. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penyerang berbisa skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Fergus Tierney mahu pasukannya terus menuai tiga mata penuh dalam aksi kedua Kumpulan B Kejuaraan AFF B-23 apabila dijadual menentang Timor Leste di Stadium Rayong, di Thailand, Selasa ini.

Tierney, 20, yang berdarah Scotland dan sudah menetap hampir 15 tahun di negara ini bersama keluarganya, adalah ayam tambatan baharu skuad Harimau Muda negara yang sedang meningkat naik.

Pada aksi pertama menentang Indonesia Jumaat lalu, pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu muncul wira apabila meledak dua gol bagi menghadiahkan kemenangan 2-1 meskipun hanya masuk selaku pemain gantian di babak kedua.

Jelas Tierney, dia mahu pasukan mengekalkan momentum kemenangan bagi meletakkan skuad negara di tangga pertama Kumpulan B dan mara ke separuh akhir.

"Kita nak menang setiap perlawanan. Kita nak menang…kita nak juara dan menang, dan kekal terus maju ke depan," katanya selepas perlawanan dengan Indonesia sebelum ini.

Terdahulu, skuad kendalian E Elavarasan mencipta sensasi di Thailand apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Indonesia yang juga pemenang pingat emas Sukan Sea di Kemboja, Mei lalu.

Kejayaan menundukkan pasukan pilihan itu kini meletakkan Malaysia di laluan terbaik melangkah ke separuh akhir dengan wajib menewaskan Timor Leste.

Untuk rekod, pengurusan pasukan meletakkan sasaran mara ke final sekaligus cuba menjuarai kejohanan itu buat pertama kali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 4:48 PM