Pengurus skuad B-23, Datuk Seri Shahril Mokhtar. -FOTO NSTP
Pengurus skuad B-23, Datuk Seri Shahril Mokhtar. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: kejohanan Piala AFF Bawah 23 tahun (B-23) bukan lagi pentas 'ujikaji' apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan sasaran lebih berani dengan mampu menempah tiket ke final kelak.

Pengurus skuad B-23, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, walaupun tempoh persediaan agak terhad selain kehilangan beberapa tonggak utama namun pasukan negara itu mampu memberikan saingan sengit dalam usaha mencipta keputusan positif di pentas Piala AFF B-23.

Malah, beliau juga percaya insiden 'bungkus awal' di sukan Sea Kemboja Mei lalu tidak akan berulang lagi apabila skuad B-23 negara tampil lebih bersedia di bawah kendalian E Elavarasan.

"Saya sudah mengadakan perbincangan bersama presiden (Datuk Hamidin Mohd Amin) mengenai sasaran iaitu mahu melangkah hingga ke pentas final Piala AFF B-23.

"Walaupun, keputusan tidak menyebelahi kita pada Sukan Sea lalu namun itu bukanlah ukuran sebenar prestasi pemain negara ketika ini apabila sudah banyak perubahan dilakukan bagi memantapkan lagi persembahan mereka.

"Pada masa sama, kita juga tidak mahu lagi untuk 'test power' atau terus melakukan eksperimen di pentas Piala AFF B-23 dengan kali ini mahu pastikan pasukan mampu mencapai sasaran ditetapkan itu," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, FAM mengumumkan senarai 25 pemain untuk menyertai kem latihan pusat yang dijadualkan bermula pada 13 Ogos ini.

Skuad Harimau Muda itu dijadualkan berlepas ke Thailand pada 16 Ogos sebelum mengharungi Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Rayong, bermula 17 hingga 26 Ogos.

Mengikut jadual perlawanan, barisan pemain muda itu akan memulakan saingan berdepan Indonesia pada 18 Ogos sebelum bertemu Timor-Leste empat hari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 4:14 PM